SERDANG – Enggan menyalahkan mana-mana pihak, pelakon Noki mengakui kecederaan ketika menjalani penggambaran filem aksi berjudul Tiket Sehala di Korea Selatan bagai insiden yang tidak disengajakan.
Noki atau nama sebenarnya Ahmad Ikhwan Aji, 31, berkata dia dan regu dalam babak pertarungan itu sudah melakukan latihan, namun kesilapan kecil mengakibatkan bahagian mulutnya berdarah terkena tumbukan.
“Benda dah nak jadi, saya tak tuding jari kepada sesiapa sebab sebelum itu memang kami dah berlatih, cuma mungkin gerakan tersasar hingga dia tertumbuk muka saya dengan kuat.
“Apa pun semua ini asam garam di set, lebih-lebih lagi dalam naskhah aksi yang turut menguji ketangkasan kita sebagai pelakon. Perlu fokus agar tiada kesilapan.
“Bagi saya insiden mulut berdarah sebelum penggambaran tetap diteruskan sebagai pengalaman ‘mahal’. Ini juga peringatan untuk saya kekal fokus,” katanya ketika ditemui selepas pelancaran filem Tiket Sehala, baru-baru ini.
Kata anggota kumpulan K-Clique itu, peluang menjalani penggambaran selama sebulan di Korea Selatan sekitar Disember tahun lalu juga meninggalkan cabaran tersendiri.
Perlu beraksi ketika suhu pada paras -16 darjah Celsius, akuinya keadaan sejuk hingga ke tulang hitam sehingga kulit kering dan bibir pecah antara isu yang dihadapinya.
“Bayangkan kita dah biasa dengan cuaca panas, di sana kena berlawan dengan musim sejuk yang membuatkan saya berusaha menyesuaikan diri dengan keadaan semasa.
“Sebenarnya itu hanya cabaran kecil kerana saya tak serik dan lebih bersyukur dipilih membintangi naskhah yang menggabungkan pelakon dari empat negara termasuk Indonesia, Thailand dan Korea Selatan.
“Sebulan mengharungi cuaca beku memang terasa ‘homesick’ tetapi saya dikelilingi ramai kawan dari Malaysia dan teman baru yang sentiasa memberi sokongan antara satu sama lain,” ujarnya.
Tiket Sehala terbitan Key Billions Sdn. Bhd. turut dibintangi Jaa Suzuran, Ainee Mustafa, Zaki Yamani, Sharifah Sakinah, Hasnul Rahmat, Sheila Mambo, Ardell Aryana, dan Shaharudin Jamaludin.
Filem arahan Rahila Ali itu berkisar penipuan sindiket pekerjaan itu dijadualkan berada di pawagam sekitar Ogos tahun ini. – KOSMO! ONLINE














