KUALA LUMPUR – Pengamal media perlu memainkan peranan penting dalam melapor dan menyebarkan maklumat berkaitan isu-isu keselamatan ketika seluruh negara berhadapan dengan konflik di Asia Barat.
Ini kerana kata Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, media bukan sahaja sebagai pelapor berita, tetapi perlu bertindak sebagai ‘ejen’ untuk menyemai semangat patriotisme dalam kalangan rakyat di negara ini.
“Dalam keadaan geopolitik semasa khususnya dengan konflik yang sedang berlaku di Timur Tengah, setiap negara perlu kekal berwaspada serta memperkukuh keupayaan keselamatan masing-masing.
“Keselamatan dan pertahanan bukanlah tanggungjawab pasukan tentera semata-mata. Ia memerlukan penglibatan serta sumbangan semua rakyat Malaysia
“Media juga boleh membantu memupuk semangat patriotisme, memperkukuh identiti nasional, menyemai perpaduan rakyat Malaysia dalam menghadapi ancaman serta menangkis propaganda luar yang boleh menggugat keharmonian kaum,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa bersama pengamal media, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, laporan media yang bertanggungjawab mampu meningkatkan moral anggota angkatan tentera.
Ia sekali gus dapat mengiktiraf pengorbanan serta tugas mereka dalam mempertahankan negara. – KOSMO! ONLINE














