KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan (KPM) memperketat mekanisme pemantauan projek pembinaan dan naik taraf sekolah bagi memastikan tiada projek sakit atau kelewatan kritikal, khususnya di kawasan pertumbuhan pesat termasuk di Selangor.
Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh berkata, sesuatu projek dikategorikan sebagai projek sakit apabila kemajuan kerja fizikal lewat melebihi dua bulan atau 20 peratus daripada jadual yang ditetapkan dalam kontrak.
Beliau berkata, pemantauan rapi di tapak projek menjadi antara mekanisme utama bagi memastikan setiap projek berjalan mengikut perancangan.
“KPM turut terlibat secara aktif dalam mesyuarat pemantauan projek bersama agensi pusat, khususnya Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM).
“Di peringkat negeri pula, Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Negeri kerap diadakan bagi membincangkan kemajuan prestasi projek termasuk di Selangor yang dipengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri,” katanya di Dewan Negara di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Senator Tiew Way Keng mengenai mekanisme memantau projek sekolah baharu atau naik taraf (terutama di kawasan pertumbuhan pesat Selangor) supaya tiada ‘projek sakit’ dan tiada kelewatan kritikal dan garis panduan perlindungan murid daripada buli siber atau penipuan dalam talian.
Dalam pada itu, bagi konteks pendidikan digital, KPM komited memperkukuh pendidikan keselamatan digital dan etika siber di sekolah bagi menangani ancaman teknologi alaf baharu seperti penipuan dalam talian, buli siber, penyalahgunaan data dan eksploitasi teknologi AI.
“KPM bersama Kementerian Digital melalui CyberSecurity Malaysia telah membangunkan Modul Etika Siber Nasional (ESN) bagi menyokong pelaksanaan program CyberSAFE® in Schools untuk murid berusia tujuh hingga 17 tahun.
“Modul tersebut merangkumi enam topik utama iaitu kesihatan dan kesejahteraan digital, fasih digital, adab digital, privasi dan keselamatan digital, hak serta tanggungjawab digital dan perdagangan digital,” katanya.- KOSMO! ONLINE














