SEBERANG PERAI – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) akan mengadakan mesyuarat khas bagi merangka semula strategi pelaksanaan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026) susulan ketegangan konflik di Asia Barat ketika ini.
Menteri, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, satu mesyuarat akan diadakan esok bagi menilai situasi semasa termasuk kemungkinan kesan terhadap sektor pelancongan negara.
Menurutnya, pihaknya akan melihat semula strategi promosi bagi memastikan kempen berkenaan dapat dilaksanakan dengan berkesan meskipun berdepan cabaran geopolitik global.
“TMM2026 memang akan terjejas. Walau bagaimanapun, petang esok akan ada satu mesyuarat dalam kementerian untuk menyusun semula strategi bagi melaksanakannya.
“Kita tunggu dan bincang dahulu. Selepas itu nanti saya akan maklumkan,” katanya ketika ditanya mengenai kemungkinan konflik di Iran memberi kesan kepada kempen TMM 2026 di Program Iftar Ramadan Sempena TMM 2026 di Kampung Mengkuang Titi, di Permatang Pauh, Bukit Mertajam di sini, hari ini. -KOSMO! ONLINE














