CYBERJAYA – Kebakaran hutan bukit berhampiran Plaza Tol Putrajaya di Lebuh Raya Maju Expressway (MEX) yang dilaporkan petang tadi, kini merebak sehingga kira-kira 2.02 hektar, setakat pukul 9 malam ini.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada pukul 4.12 petang.
Menurutnya, kebakaran pada peringkat awal melibatkan kawasan hutan bukit seluas kira-kira 1.21 hektar di kawasan PUJ 9/27E, Taman Puncak Jalil, Seri Kembangan.
“Bagaimanapun, laporan terkini pada pukul 9 malam mendapati kebakaran telah merebak menjadikan jumlah keseluruhan kawasan terjejas kira-kira 2.02 hektar.
“Operasi pemadaman masih giat dijalankan oleh pasukan bomba di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, operasi melibatkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seri Kembangan dengan bantuan BBP Cyberjaya, BBP Puchong, BBP Jalan Penchala dan BBP Subang Jaya.
“Kerja-kerja pemadaman dilakukan menggunakan dua aliran hos sepanjang 200 kaki dengan dua pancutan pam jentera serta peralatan ‘firebeater’ (alat pemukul api) bagi mengawal api daripada terus merebak,” katanya.
Menurut Ahmad Mukhlis, seramai 27 anggota bersama beberapa jentera digerakkan bagi memadam kebakaran tersebut.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan, kebakaran hutan bukit seluas kira-kira 0.81 hektar dilaporkan berlaku berhampiran Plaza Tol Putrajaya di Lebuh Raya MEX, di sini petang tadi.
Ahmad Mukhlis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada petang tadi. – KOSMO! ONLINE














