fbpx
Rosyam berkata, datang lambat ke tempat kerja tidak seharusnya dijadikan amalan yang berlarutan terutama apabila seseorang itu berstatus orang lama atau senior.

‘Jangan sampai lima jam, itu bukan lambat, itu kurang ajar’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Isu tidak menghormati masa orang lain di set penggambaran, pelakon Datuk Rosyam Nor menganggap perkara tersebut sebagai rencah kehidupan dalam bidang seni.

Begitupun, Rosyam atau nama sebenarnya Mohamed Noor Shamsuddin, 59, memberitahu perkara tersebut tidak seharusnya menjadi amalan yang berlarutan.

“Kadang-kadang kita tak tahu apa masalah dengan pelakon itu, terima sahajalah. Zaman saya pun ada pelakon-pelakon senior datang lambat.

“Ini rencah-rencah kehidupan dalam bidang lakonan tapi bagi saya kalau mereka dah komited dengan kerja, sesekali ada sebab-sebab muhasabah, tiada masalah. Kalau berkali-kali itu kurang ajar,” katanya ditemui pada tayangan perdana drama vertikal, My Ramadan Love Story yang ditayangkan menerusi platform penstriman, P-Circle di Courtyard by Marriot, Kuala Lumpur South, di sini, kelmarin.

Sepanjang hampir empat dekad bergelar anak seni, Rosyam mengakui sangat mementingkan ketepatan masa kerana menganggap kerjaya lakonan adalah punca rezeki yang perlu dijaga dengan penuh amanah.

“Saya mana pernah datang lambat, saya kerja rezeki Allah bagi kita kena jaga.

“Kalau kita lambat sebab jalan jem atau ada masalah beritahu produksi.

“Tapi jangan sampai lima jam lambat, itu bukan lambat itu kurang ajar.

Dalam masa sama, Rosyam menasihatkan tentang disiplin yang perlu dijaga bagi menunjukkan imej baik terutama untuk kekal lama dalam industri.

“Setakat ini tiada (pelakon baharu datang lambat), pelakon lama yang datang lambat adalah.

“Reaksi saya nak buat apa? Saya pelakon bukan orang produksi, tapi bagi mereka yang datang lambat mungkin hari ini dia rasa diperlukan.

“Tapi satu hari nanti, mungkin dia tak diperlukan ketika itu dia baru nak betulkan disiplin dah terlambat,” jelasnya.

Malah, Rosyam menjelaskan bahawa kriteria pemilihan pelakon oleh rumah produksi bukan bersandarkan bakat semata-mata, sebaliknya lebih mengutamakan aspek disiplin.

“Banyak berlaku depan mata saya, kadang-kadang bukan nak ambil pelakon sebab lakonan tapi disiplin. Kalau dia ala-ala sederhana tapi disiplin bagus, tak rosakkan atau jejaskan produksi, itu menjadi pilihan.

“Saya lihat ramai yang berdisiplin tinggi terus berkarya dan bekerja sampai ke hari ini.

“Diberi peluang oleh rumah produksi. Disiplin benda peling dalam karier seorang pelakon,” tuturnya.

Sebelum ini, pelakon Azhan Rani meluahkan rasa terkilan dengan sikap segelintir pelakon khususnya bakat baharu yang hadir lewat ke lokasi penggambaran.

Dia menyifatkan tindakan tersebut sebagai tidak menghormati masa orang lain lebih-lebih lagi apabila individu terbabit seolah-olah tiada rasa bersalah dengan perbuatannya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI