KUALA LUMPUR – Penggayaan tudung dilihat semakin singkat dan jarang, penyanyi Nabila Razali mengakui perkara tersebut dilakukan bagi memenuhi tuntutan konsep muzik serta karya terbaharunya.
Bagaimanapun, Nabila atau nama lengkapnya Nur Nabila Mohd. Razali, 34, agak berhati-hati dalam mengulas isu sensitif tersebut bagi mengelakkan sebarang kenyataan yang dikeluarkan disalah tafsir orang ramai.
“Saya agak berhati-hati menjawab soalan ini kerana apa jua kenyataan saya takut disalah tafsir.
“Tapi untuk saya sendiri sebagai anak seni, saya sentiasa berkarya dari segi muzik, fesyen dan penampilan mengikut lagu-lagu yang saya keluarkan.
“Kali ini saya ikut konsep retro sedikit kerana lagu raya saya ada ‘vibe’ retro. Jadi saya ikut konsep muzik, tapi tidak bermaksud saya mengetepikan perkara yang salah,” katanya kepada Kosmo! Online ketika ditemui pada program Melodi Raya yang berlangsung di Saloma, Kuala Lumpur, semalam.
Jelas pelantun lagu Peluang Kedua itu lagi, setiap imej yang dipaparkan bukanlah keputusan peribadi semata-mata, sebaliknya telah melalui proses perbincangan bersama pasukan kreatifnya.
“Sudah tentu saya ada rujukan tersendiri setiap kali saya mahu tampil dengan sesuatu penampilan. Satu pasukan akan menilai sama ada sesuai untuk saya ataupun tidak.
“Alhamdulillah semuanya saya suka dan kena dengan gaya lagu. Malah penari saya pun sedondon.
“Kami pilih penampilan itu disebabkan konsep muzik tersebut,” katanya lagi.
Tidak melatah dengan kritikan yang diterima, Nabila menerima setiap teguran sebagai satu proses untuk menjadi insan lebih baik pada masa akan datang.
“Ada (bagi teguran) juga tapi saya terima dengan hati terbuka, tidak terasa hati — saya tahu apa yang salah apa yang tidak. Saya hanya manusia biasa dan masih mencuba untuk memperbaiki diri.
“Tapi macam saya cakap, saya dalam fasa memperbaiki diri, memang ambil masa. Tak boleh terus terus menjadi sempurna.
“Saya masih mencuba, harapnya orang bersabar dengan saya dari segi fesyen atau muzik sebab kita rasa nak seronok-seronok saja, jangan stres lagu raya mana yang sedap tau tak,” jelasnya lagi.
Sebelum ini, ramai yang memberi kritikan terhadap penampilan baharu Nabila apabila mempromosikan lagu raya baharunya berjudul Tak Sabar Nak Raya. – KOSMO! ONLINE














