JOHOR BAHRU – Seorang ejen insurans mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dakwaan mencederakan anak lelakinya yang berusia 11 tahun di Bandar Baru Permas Jaya di sini, akhir bulan lalu.
Tertuduh, Ng Cha Yee, 33, yang juga ibu tunggal membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Mohd. Zamir Suhaimee.
Berdasarkan kertas pertuduhan, ejen insurans itu didakwa telah menganiaya kanak-kanak tersebut sehingga mendatangkan kecederaan fizikal di kawasan tangga di Permas City, Bandar Baru Permas Jaya kira-kira pukul 5 petang.
Atas kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum bawah akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun atau denda tidak melebihi RM50,000 atau kedua-duanya.
Seksyen sama turut memperuntukkan tertuduh dikenakan bon jaminan berkelakuan baik dan melaksanakan khidmat masyarakat antara 36 jam hinga 240 jam dalam tempoh enam bulan.
Timbalan Pendakwa Raya, R. Nevina mencadangkan mahkamah menawarkan jaminan RM20,000 beserta syarat tambahan pasport diserah kepada mahkamah, tidak boleh mengganggu mangsa dan saksi serta melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali.
Peguam tertuduh, Mohd. Azlan Shah Mohd. Allias bagaimanapun memohon jaminan minimum memandangkan anak guamnya hanya mampu menyediakan wang sebanyak RM10,000.
“Tertuduh sudah bercerai, dia bekerja sebagai ejen insurans dengan pendapatan bulanan RM3,900. Tanggungan serta komitmen bulanannya antara RM2,500 hingga RM3,000.
“Untuk rekod, tertuduh telah berpisah dengan suaminya dan mereka bergilir-gilir menjaga anak tunggal tersebut. Ketika giliran bapa kanak-kanak itu menjaganya, guru besar sekolah anak lelakinya itu menelefon memaklumkan kanak-kanak itu tidak bersekolah.
“Tertuduh kemudian menghubungi bekas suaminya untuk bertanyakan perkara itu, tetapi tiada maklum balas. Bimbang kehilangan anaknya, tertuduh ke balai polis untuk buat laporan, namun dia dimaklumkan ada laporan polis dibuat terhadapnya oleh bekas suaminya,” katanya.
Mohd. Azlan turut memberitahu, anak guamnya itu tidak melarikan diri sebaliknya memberikan kerjasama penuh kepada siasatan yang dijalankan pihak berkuasa.
Mohd. Zamir kemudian menawarkan jamin sebanyak RM9,000 beserta syarat tambahan selain menetapkan tarikh 13 April untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen.-KOSMO! ONLINE














