SHAH ALAM – Polis mendedahkan perancang utama kes samun berkumpulan yang membabitkan enam lelaki termasuk dua pegawai kanan dan seorang anggota polis di daerah Gombak pada 27 Februari lalu adalah seorang orang awam.
Kejadian itu berlaku kira-kira pukul 7.30 pagi sebelum kesemua suspek berjaya diberkas dalam beberapa siri tangkapan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak bermula 2 Mac lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, siasatan mendapati kesemua suspek saling mengenali antara satu sama lain manakala dalang yang merancang kegiatan tersebut bukan daripada anggota pasukan keselamatan.
Menurut beliau, dua suspek terakhir berjaya ditahan semalam dan kini sedang direman bagi membantu siasatan.
“Kes samun di Gombak ini telah selesai disiasat dan kesemua suspek yang terlibat berjaya ditangkap oleh IPD Gombak. Perancang utama adalah orang awam dalam kumpulan suspek itu.
“Kertas siasatan juga telah diedarkan kepada Pejabat Penasihat Undang-Undang Bukit Aman untuk dikaji kerana kes ini melibatkan suspek yang bertugas sebagai anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya pada sidang akhbar di Mes Pegawai Kanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini, hari ini.
Jelas beliau, setakat ini pihak polis memperoleh beberapa dapatan positif hasil siasatan yang dijalankan.
“Sekiranya ada perkembangan baik, saya akan kongsikan kepada pihak media,” ujarnya.
Media sebelum ini melaporkan dua pegawai kanan dan seorang anggota polis antara enam lelaki ditahan bagi membantu siasatan kes samun berkumpulan di Gombak dalam kejadian 7.30 pagi pada 27 Februari lalu.
Hasil pemeriksaan mendapati salah seorang suspek awam yang ditahan mempunyai 20 rekod jenayah lampau. – KOSMO! ONLINE














