WINDHOEK – Seorang wanita di Namibia mati dipijak gajah selepas dicabar oleh rakan-rakannya untuk menarik ekor dan berswafoto dengan haiwan itu, lapor akhbar The Sun UK.
Kejadian berlaku di perkampungan Omugulugombashe, wilayah Omusati baru-baru ini.
Rakaman video dikongsi di platform Facebook menunjukkan mangsa bernama Klaudia Mwaala, 46, bersama tujuh rakannya menemukan seekor gajah jantan yang cedera akibat ditembak kerana menceroboh tanaman penduduk tempatan.
Mwaala menghampiri haiwan seberat 6 tan itu dari belakang dan menampar punggungnya sebanyak dua kali.
Dia kemudian menarik ekor gajah itu dengan kuat sebelum melarikan diri sambil ketawa di hadapan kamera.
Situasi menjadi cemas apabila gajah tersebut mengejar Mwaala ketika dia cuba merakam swafoto dengan gading haiwan itu.
Dia cuba melarikan diri tetapi terjatuh. Mayat mangsa ditemukan dalam keadaan hancur oleh warga setempat tidak lama kemudian.
Jabatan Alam Sekitar melancarkan siasatan dan memutuskan untuk menidurkan gajah tersebut. – AGENSI














