JERANTUT – Seramai 1,494 pemegang unit ladang Koperasi Serbausaha Makmur Berhad (Kosma) menerima durian runtuh sehingga RM8,000 seorang menerusi agihan dividen dan bonus sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, prestasi kewangan koperasi berkenaan menunjukkan peningkatan memberangsangkan dengan pendapatan ladang meningkat kepada RM273.13 juta pada tahun 2025 berbanding RM224.88 juta pada tahun sebelumnya.
Tambahnya, keuntungan bersih Kosma turut mencatatkan peningkatan kepada RM177.63 juta pada tahun 2025 berbanding RM134.17 juta pada tahun sebelumnya.
“Pada tahun ini, Kosma akan membayar dividen unit ladang kepada 1494 orang anggota dengan jumlah keseluruhannya mencecah RM30.62 juta.
“Bersempena dengan Sambutan Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelma, Kosma akan membayar pendahuluan dividen sebanyak satu unit ladang yang bernilai RM6,000 berbanding RM5,500 pada tahun 2024 kepada semua anggota dengan jumlah keseluruhannya RM8.964 juta,”katanya pada Pengumuman Dividen Kosma 2026 di Pejabat Daerah dan Tanah Jerantut di sini hari ini.
Beliau berkata, Kosma juga akan memberikan bonus raya sebanyak RM2,000 kepada semua anggota yang berjumlah keseluruhan sebanyak RM2.986 juta.
“Baki pembayaran bagi unit ladang akan dibuat selepas Mesyuarat Agung Tahunan Kosma yang dijadualkan berlangsung pada Jun ini.
“Manakala, dividen bagi model saham pula akan dibayar selepas mendapat kelulusan daripada Suruhanjaya Koperasi Malaysia,”ujarnya.-KOSMO! ONLINE














