BANGI – Seramai 100 penghantar makanan menerima sumbangan hari raya dan pakaian menerusi Program Alumni Prihatin: Jejak Wira Jalanan anjuran bekas penuntut atau alumni Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Program berkenaan dijalankan dengan kerjasama Pusat Islam UKM serta syarikat Light Green Enterprise dimiliki oleh seorang alumni UKM untuk sumbangan baju kurta hari raya, dengan bantuan itu disampaikan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal-Ehwal Pelajar dan Alumni) UKM, Prof. Ts. Dr. Norinsan Kamil Othman.
Norinsan berkata, sumbangan itu bukan sahaja diharap dapat meringankan persiapan sempena Hari Raya Aidilfitri kali ini, malah sebagai penghargaan kepada penghantar makanan tersebut atas khidmat mereka kepada masyarakat.
“UKM cakna dengan penghantar makanan ini yang bertungkus lumus memastikan penghantaran mereka selamat sampai kepada pembeli. Kita berbangga kerana alma meter kita dapat berikan sumbangan kali ini.
“Ditambah lagi, kita kini sedang dalam ‘larian’ terakhir mencari lailatul qadar. Jadi kita banyakkan sembahyang dan ibadah dan kalau tak boleh, banyakkan sedekah termasuk kepada rider kita yang mana keringat mereka dalam menyampaikan barangan dengan selamat kepada pelanggan.
“Malah sewaktu pandemik Covid-19 dahulu, mereka ini juga membawa perubahan dan transformasi besar dalam industri. Saya percaya pelajar-pelajar kita juga menggunakan khidmat anda dan UKM sangat menghargai,” katanya berucap pada Program Alumni Prihatin: Jejak Wira Jalanan, di sini hari ini.
Hadir sama pelakon, Datuk Fizz Fairuz.
Program Alumni Prihatin: Jejak Wira Jalanan merupakan inisiatif kebajikan bagi menyantuni golongan penghantar makanan yang menjadi antara tulang belakang kepada kelangsungan perkhidmatan harian masyarakat masa kini.
Ia merupakan program pertama anjuran alumni UKM melibatkan penerima dalam kalangan penghantar makanan sempena Ramadan ini, manakala pelbagai program berbentuk kebajikan giat dijalankan pihak berkenaan termasuk agihan makanan kepada gelandangan. – KOSMO! ONLINE














