KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak membenarkan penjualan air balang dan lokcing di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) di sini sepanjang Ramadan ini menerusi pelaksanaan Permit Harian Penjaja Bergerak (tanpa kenderaan).
DBKL dalam kenyataannya berkata, permit tersebut dilihat sebagai penyelesaian menang-menang yang memberi ruang kepada peniaga menjalankan perniagaan secara sah.
Pada masa sama, katanya, langkah tersebut turut membantu memastikan kawasan Jalan TAR kekal bersih, selamat dan teratur untuk orang ramai.
“Antara barangan yang dibenarkan adalah air berbekas, air tin, air kotak, makanan atau buah berbungkus, bunga, belon, permainan kanak-kanak dan barangan lain yang bersesuaian.
“DBKL tidak membenarkan penjualan air balang atau air bancuh, steamboat, lokcing dan makanan yang dimasak di lokasi,” katanya hari ini.
Petugas DBKL turut menyediakan penyelesaian segera di lokasi bagi membolehkan penjaja mendaftar dan mendapatkan permit tanpa melalui proses yang rumit dalam usaha memastikan penjaja mematuhi undang-undang, di samping menjaga kebersihan dan kesihatan awam.
“Selain itu, ia bertujuan mengelakkan halangan lalu lintas dan pejalan kaki, selain memberi peluang kepada penjaja kecil menjalankan perniagaan secara sah,” katanya.
Permit itu dikeluarkan di Jalan TAR bermula pukul 4 petang hingga 9 malam di Bit Penguatkuasaan DBKL, hadapan Muaz dengan bayaran RM10 sehari dan perlu diperbaharui setiap hari. Waktu operasi dibenarkan dari pukul 6 petang hingga 12 tengah malam. – KOSMO! ONLINE














