PETALING JAYA – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan menunaikan bayaran zakat harta berjumlah RM10 juta bagi tahun ini.
Perkara tersebut dimaklumkan menerusi hantaran di Facebook rasmi Seri Paduka Baginda hari ini.
Menerusi hantaran berkenaan, turut dimuat naik beberapa keping gambar ketika Seri Paduka Baginda melafazkan pembayaran zakat harta.
Cek zakat berkenaan diserahkan Seri Paduka Baginda kepada Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), Mohd Radzi Mohd Amin di Istana Pelangi, Johor Bahru.
Penyerahan itu turut disaksikan Mufti Johor, Datuk Yahya Ahmad serta Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ), Nasri Md Ali. – KOSMO! ONLINE














