PETALING JAYA – Johor Darul Ta’zim (JDT) cipta sejarah baharu apabila layak ke peringkat suku akhir Liga Juara-Juara Elit (ACLE) selepas mengatasi kelab Jepun, Sanfrecce Hiroshima 3-2 secara agregat.
Pada aksi kedua pusingan 16 di Stadium Bola Sepak Hiroshima, sebentar tadi, Harimau Selatan tewas 0-1 namun tetap layak hasil kelebihan menang 3-1 pada perlawanan pertama, Rabu lalu.
Terdahulu, skuad kendalian Xisco Munoz dilihat cukup berdisiplin khususnya ketika melakukan tugasan bertahan mengekang asakan tuan rumah.
Walaupun Sanfrecce Hiroshima dilihat lebih mendominasi permainan, JDT tetap tampil dengan aksi positif dan hampir membuka jaringan selepas percubaan Oscar Arribas pada hujung babak pertama yang terkena tiang gol.
Semakan Video Bantuan Pengadil (VAR) menyaksikan pengadil perlawanan dari Arab Saudi, Mohammed Khled Al Hoish menghadiahkan sepakan penalti kepada pasukan tuan rumah kerana bola dikesan terkena tangan pemain Harimau Selatan, Nene.
Kesempatan pada minit ke-90 itu berjaya disempurnakan oleh Kosuke Kinoshita namun sudah terlambat untuk membiarkan JDT layak ke suku akhir. – KOSMO! ONLINE














