KLUANG – Seorang lelaki warga emas manakala pegawai penjara lelaki patah kaki kanan selepas kenderaan dinaiki masing-masing bertembung dalam kejadian di Kilometer 63, Jalan Yong Peng – Kluang (Jalan Padang Tembak) di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, kejadian berlaku pukul 1.45 tengah hari itu melibatkan kenderaan trak pikap dipandu Tan Kok Leong, 60, dan kereta Proton Pesona dipandu Pegawai Penjara, Mohamad Izwan Samri, 41.
Jelasnya, siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika Kok Leong dalam perjalanan dari arah bandar Kluang menuju ke Taman Sri Lambak (T6) manakala Mohamad Izwan dari arah bertentangan.
Katanya, sampai ditempat kejadian, Proton Pesona dipercayai telah memasuki laluan moto pick-up yang dipandu warga emas itu sehingga berlaku pertembungan antara kedua-dua kenderaan.
“Akibat daripada pertembungan itu, warga emas itu telah mengalami kecederaan parah di kepala dan meninggal dunia ditempat kejadian manakala pegawai penjara itu patah kaki kanannya.
“Kedua-dua mangsa kemudiannya dirujuk ke Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) untuk rawatan dan bedah siasat, Kes akan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,”katanya melalui kenyataan hari ini.
Sementara itu, seramai enam anggota Bomba dan Penyelamat Renggam diketuai Pegawai Bomba Kanan I Juazman Miskon dikejarkan ke lokasi kemalangan.
Menurut Juazman, sebaik tiba pihaknya mendapati kedua-dua mangsa tidak tersepit sebelum melakukan tugas mengeluarkan dari kenderaan masing-masing.-KOSMO! ONLINE














