BARCELONA – Pengendali Barcelona, Hansi Flick menetapkan visinya untuk memastikan skuad kendaliannya mampu mengesahkan kemaraan awal ke pusingan suku akhir Liga Juara-Juara menjelang aksi menentang Newcastle United di St. James Park awal pagi esok.
Saingan suku akhir menjadi sasaran awal The Catalans ketika mereka kemarau kejuaraan tersebut sejak lebih sedekad apabila kali terakhir menjulang trofi Liga Juara-Juara pada 2015 dan peluang kali ini sukar dilepaskan.
Berdasarkan laporan, Barcelona bakal turun berdepan perlawanan tersebut dengan taktikal dan formasi yang cukup jelas diberikan oleh Flick yang sudah mengkaji corak permainan The Magpies.
Mereka dikatakan perlu menjangkakan aksi pantas yang bakal dipamerkan oleh Newcastle ketika Barcelona sering dianggap pasukan yang ‘lambat panas’ sekali gus menyebabkan mereka perlu waspada.
Laporan turut menyebut bahawa Flick menggesa para pemain untuk tidak melakukan kesilapan sebelum ini termasuk ketika mereka tersingkir di separuh akhir apabila tewas menentang Inter Milan apabila terlalu ghairah menyerang.
Aksi menentang Athletic Bilbao sebelum ini menyaksikan Flick dilihat mengarahkan dua penyerangnya, Raphinha dan Robert Lewandowski untuk lebih mempertahankan posisi masing-masing berbanding memberi tekanan yang terlalu tinggi.
Sementara itu, Raphinha mengakui dia berada dalam keadaan baik dan tidak berasa kepenatan menjelang pertemuan menentang Newcastle.
“Saya tidak penat seperti sesetengah pemain. Kami berdepan perlawanan sebelum ini yang cukup sukar, jadi ada sesetengah pemain merasai kepenatan itu.
“Saya baru pulih daripada kecederaan kecil dan mempunyai masa yang cukup untuk berehat. Misi kali ini ada meraih kemenangan,” katanya. – AGENSI














