fbpx
ZII Jia dipaksa bermandi peluh sebelum menewaskan Holm bagi meneruskan kemaraan ke pusingan pertama Terbuka Switzerland. - AFP

Terbuka Switzerland: Zii Jia kerja keras ke pusingan pertama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia melepasi aksi kelayakan bagi menempah slot pusingan pertama pada Kejohanan Badminton Terbuka Switzerland di Basel.

Pada perlawanan yang berlangsung di St. Jakobshalle sebentar tadi, bekas juara All England itu dipaksa bekerja keras sebelum menang 21-17, 19-21, 21-16 ke atas pemain Denmark, Ditlev Jaeger Holm.

Zii Jia yang turun sebagai pemain pilihan bagaimanapun tidak berdepan laluan mudah apabila dipaksa bermain sehingga ke set ketiga selain beberapa kali terbaring di atas gelanggang.

Pemain No.96 dunia itu pada awalnya berpeluang untuk menamatkan perlawanan di set kedua apabila mendahului 19-17, namun dikejar Holm yang kemudiannya menang 21-19 bagi mengheret aksi ke set penentuan.

Memasuki set ketiga, Zii Jia kembali memperkemaskan permainan dan memimpin keseluruhan permainan walaupun cuba diberikan tentangan sengit lawan yang berada pada ranking ke-61 dunia itu.

Walaupun Holm cuba merapatkan kedudukan 15-18, namun Zii Jia yang juga pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Paris 2024 kekal fokus sebelum memastikan kemenangan mutlak dalam tempoh 59 minit.

Menjelang aksi pusingan pertama nanti, pemain kelahiran Alor Setar, Kedah itu akan membuat perhitungan dengan Jason Teh dari Singapura bagi merebut tempat ke pusingan kedua. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN