PETALING JAYA – Gurauan seorang mahasiswa yang meminta agar golongan pelajar universiti diberi keutamaan menerima duit raya berbanding kanak-kanak meraih perhatian orang ramai.
Lelaki itu secara berseloroh berkata, dirinya masih bergelar pelajar dan memerlukan duit raya bagi menampung kehidupan di universiti.
Kepada mak cik dan pak cik, saya ‘student’ (pelajar) lagi memerlukan duit raya untuk (perbelanjaan) universiti berbanding budak darjah satu yang kerjanya makan aiskrim tu.
“Ingat senang ke nak hidup dekat universiti ni,” katanya menerusi kapsyen video yang memaparkan dirinya sedang ‘muram’.
Hantarannya itu mengundang pelbagai komen yang rata-rata bersetuju dan menyokong kenyataannya itu.
“Paling tak faham. Bayi selalu dapat lagi banyak. Dia orang bukan pandai nak membeli-belah pun,” ujar seorang pengguna.
“Aku ni sekolah kolej vokasional. Cuti semester masa puasa, duit tak ada. Nak beli apa-apa tak ada duit…..sedih,” komen pengguna lain.
“Biasa umur-umur macam ni, tiap kali raya kita akan buat-buat tersipu-sipu malu sambil cakap, ‘Tak apa la mak cik’, tapi tangan tetap ambil duit raya,” dedah @Niratul. – KOSMO! ONLINE














