fbpx
Amir ketika ditemui pemberita semasa Majlis Berbuka Puasa Bersama Media.

Perkhidmatan rel, bas Prasarana berjalan seperti biasa semasa perayaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Operasi perkhidmatan rel dan bas kendalian Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) akan berjalan seperti biasa sepanjang musim perayaan bagi memastikan orang ramai terus mendapat akses kepada pengangkutan awam.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Malaysia Berhad, Amir Hamdan berkata, tumpuan utama pihaknya ketika ini adalah memastikan operasi berjalan lancar selain meminimumkan sebarang gangguan perkhidmatan.

Beliau berkata, permintaan terhadap pengangkutan awam masih tinggi ketika ini apabila orang ramai mula menggunakan perkhidmatan tersebut untuk membeli-belah dan membuat persiapan menjelang sambutan perayaan.

“Bagi operasi di hari perayaan sendiri pun masih sama, staf-staf kita masih bekerja macam biasa seperti juruteknik dan kapten bas, masih bekerja macam biasa. Cuma kekerapan akan berubah mengikut hari pelepasan am.

“Biasanya jumlah penumpang ketika hari perayaan akan berkurang kira-kira 50 peratus atau lebih. Jadi, kekerapan perjalanan juga akan diselaraskan mengikut ketetapan yang dibenarkan oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD),” katanya ketika ditemui media semasa Majlis Berbuka Puasa Bersama Media di sini hari ini.

Dalam pada itu, Amir berkata, Prasarana turut mengekalkan sasaran kebolehpercayaan operasi termasuk mencapai indikator Mean Kilometre Between Failure (MKBF) sejauh satu juta kilometer menjelang pertengahan tahun ini.

Mengulas mengenai maklum balas pengguna di media sosial, beliau berkata, setiap gangguan perkhidmatan yang berlaku akan dianalisis melalui proses post-mortem bagi mengenal pasti langkah penambahbaikan.

“Kita mengambil semua maklum balas pengguna sebagai panduan untuk menambah baik terutama dari segi cara kita berkomunikasi dengan penumpang ketika berlaku gangguan perkhidmatan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN