BANGKOK – Seorang pemilik restoran di Phuket menjadi perhatian pengguna media sosial selepas memuat naik video yang menunjukkan dia menghalau seorang lelaki Israel dari restorannya sambil melaungkan slogan ‘Free Palestine’ (bebaskan Palestin), lapor laman berita Thaiger hari ini.
Pemilik restoran itu berkongsi dua video di akaun Facebook miliknya semalam.
Dalam keterangan video, lelaki itu berkata, dia meminta pelancong Israel tersebut beredar selepas melihat tulisan berbahasa Ibrani pada skrin telefonnya.
“Tiada warga Israel di sini. Saya tidak mahu menjual apa-apa kepada warga Israel. Pergi, pergi, pergi!” katanya dalam video tersebut.
Rakaman itu menunjukkan pemilik restoran tersebut mengekori lelaki asing itu dan terus merungut semasa dia berjalan keluar dari restoran ke jalan awam.
Di akhir klip video, pemilik restoran itu berulang kali kedengaran melaungkan slogan ‘Free Palestine’.
Sementara itu, lelaki Israel tersebut melahirkan rasa tidak puas hatinya, tetapi menahan diri daripada bersemuka dengan pemilik restoran tersebut.
Video itu menjadi tular dan menerima pelbagai reaksi daripada pengguna media sosial, dengan ramai mempertahankan tindakan tersebut dengan menyebut beberapa laporan terdahulu mengenai tingkah laku biadab pelancong Israel di Thailand.
Sebilangan netizen lain mengkritik konfrontasi itu dan berkata, pemilik restoran tidak sepatutnya meningkatkan konflik di Thailand, terutamanya di Phuket di mana pelancong datang dari pelbagai negara. – AGENSI














