fbpx
Noraini (tiga dari kiri) menyampaikan sumbangan semasa menyantuni pelajar Maahad Tahfiz Quran Al-Iman, Ketereh dekat Kota Bharu hari ini. Foto oleh KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN / KOSMO!

Konflik Asia Barat berlarutan jejaskan eksport komoditi negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KOTA BHARU – Eksport komoditi negara berisiko terjejas sekiranya konflik dan krisis yang melanda Asia Barat berlarutan sehingga penghujung suku tahun ini.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, walaupun belum merasai kesan ketara terhadap konflik itu, kerajaan berharap krisis itu dapat diselesaikan segera supaya aktiviti perdagangan di rantau tersebut dapat kembali berjalan seperti biasa.

Menurutnya, setakat ini, semua kapal dagang membawa barangan eksport komoditi dari Malaysia tidak dapat memasuki kawasan-kawasan Asia Barat berikutan penutupan Selat Hormuz yang merupakan laluan masuk kapal-kapal ke kawasan berkenaan.
“Buat masa ini, kita belum ada maklumat mengenai jumlah kapal dagang dari negara ini yang tersangkut sekali gus tidak boleh memasuki Selat Hormuz. Biasanya, maklumat berkenaan akan dihantar oleh pemain-pemain industri kepada kementerian.

“Komoditi negara yang tidak dapat memasuki Asia Barat pada ketika antaranya barangan berasaskan kayu seperti perabot, minyak kelapa sawit dan barangan lain yang diperbuat daripada kelapa sawit,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyantuni pelajar Maahad Tahfiz Quran Al-Iman, Ketereh di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Noraini memberitahu, setakat ini, eksport komoditi negara belum merasai kesan besar daripada situasi di Asia Barat dan pemain-pemain industri hanya perlu membuat sedikit penambahan kos.

Katanya, faktor yang membantu kestabilan eksport komoditi adalah kerana negara mempunyai hubungan dagang dengan banyak negara lain termasuk Amerika Syarikat, negara-negara Asia Barat dan Eropah.

“Kalau diikutkan daripada segi barangan (eksport komoditi) seperti perabot dan sebagainya, (pemain-pemain industri) hanya memerlukan sedikit penambahan kos logistik dan insurans jika mahu ke kawasan perang atau bergolak.

“Setakat ini, itu sahaja cabaran yang perlu dilalui pengeksport-pengeksport komoditi dari Malaysia jika mahu melalui kawasan seperti Selat Hormuz,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI