fbpx
Gambar hiasan

Kerajaan bantu logistik PKMS terjejas akibat konflik Asia Barat 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan membantu Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) sekiranya konflik di Asia Barat menjejaskan rantaian logistik atau penghantaran barangan ke pasaran luar negara.

Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Sim Tze Tzin berkata, kerajaan tidak akan berpeluk tubuh, sebaliknya akan bertindak secara proaktif bagi membantu syarikat tempatan yang berdepan masalah berkaitan eksport atau logistik akibat ketegangan geopolitik di rantau berkenaan.

Menurut beliau, MITI akan menggunakan rangkaian pegawai perdagangan Malaysia di luar negara termasuk kedutaan dan agensi berkaitan bagi memantau serta menyelesaikan isu yang timbul.
“Kerajaan akan cuba membantu daripada segi masalah kalau ada yang tersangkut di mana-mana logistik barangan mereka, MITI sudah tentunya melalui pegawai kita di serantau atau melalui duta-duta kita untuk bantu PKMS menyelesaikan masalah-masalah di sana.

“Kita akan secara proaktif (membantu), bagaimanapun kita perlukan laporan daripada kedutaan-kedutaan dan juga atase MITI dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) untuk beri maklumat supaya kita boleh lakukan apa yang perlu,” katanya pada sidang Dewan Negara di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof Rawa apakah langkah kerajaan untuk membantu PKMS yang terjejas akibat konflik antara Iran dan Israel supaya tidak ‘gulung tikar’

Terdahulu, Tze Tzin berkata, buat masa sekarang kerajaan masih membuat analisis dan memerhati secara lebih serius tentang apa yang berlaku di Asia Barat.

Beliau menambah bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menjelaskan bahawa sudah tentu konflik itu memberi kesan kepada ekonomi global, termasuk Malaysia.

“Daripada segi MITI, kita akan menghadapi pelbagai cabaran, contohnya dalam logistik dan penghantaran barangan serta perkhidmatan yang melalui kawasan konflik.

“Ini adalah cabaran yang bukan sahaja Malaysia hadapi, tetapi juga seluruh dunia,” jelas beliau. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI