fbpx
Sebuah rumah yang menjadi lokasi seorang lelaki maut ditetak di Taman Kempas, Sungai Petani tengah malam tadi.

Keluarga syak lelaki ditetak sebab dendam lama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SUNGAI PETANI – Kejadian seorang lelaki yang maut akibat ditetak berulang kali di sebuah rumah di Taman Kempas Fasa 2, di sini tengah malam tadi dipercayai berpunca daripada dendam lama.

Bapa saudara mangsa yang mahu dikenali sebagai Nagen mendakwa, kejadian itu dipercayai berkaitan laporan polis yang pernah dibuat mangsa berhubung pergaduhan melibatkan suspek sebelum ini sehingga menyebabkannya ditahan polis.

Dakwanya, mangsa juga pernah menerima mesej WhatsApp daripada ahli keluarga suspek yang tidak berpuas hati dengan tindakannya membuat laporan sehingga suspek terpaksa meringkuk di dalam lokap selama beberapa hari.
“Walaupun mangsa dan suspek berkawan baik kerana mempunyai pertalian keluarga dan tinggal satu perumahan, namun dendam dipercayai menjadi sebab kejadian itu,” dakwanya ketika ditemui di rumah mangsa di sini hari ini.

Menceritakan semula kejadian, katanya, kira-kira pukul 9 malam tadi, dia bersama tiga ahli keluarga dan mangsa berbual di luar rumah sebelum melihat dua motosikal berulang-alik di hadapan rumah.

“Kami kemudian keluar makan di sebuah kedai di Taman Sejati dan pulang kira-kira tiga jam kemudian sebelum berbual semula di ruang parkir rumah,” ujarnya.

Katanya, tidak lama kemudian dua lelaki bersenjatakan parang panjang melompat pagar rumah sebelum menetak mangsa yang semasa kejadian sudah masuk ke dalam rumah dan sedang berbaring di ruang tamu.

“Kami cuba membantu mangsa menggunakan kayu, namun salah seorang ahli keluarga turut ditetak sehingga cedera pada jari. Ketika bergelut, seorang daripada kami sempat menarik topeng muka salah seorang suspek dan terkejut apabila menyedari lelaki itu sebenarnya dikenali oleh keluarga kami,” ujarnya.

Tambahnya, mangsa yang mengalami kecederaan parah meninggal dunia beberapa minit kemudian ketika ditenangkan ibunya yang berada di rumah semasa kejadian.

Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan seorang lelaki berusia lewat 20-an maut akibat ditetak berulang kali di hadapan rumahnya di Taman Kempas Fasa 2, di sini tengah malam tadi.

Kejadian yang berlaku antara pukul 12 tengah malam hingga 2 pagi itu turut mengakibatkan adik perempuannya cedera parah dengan tangan hampir putus.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, susulan kejadian itu, polis berjaya menahan tiga suspek iaitu dua lelaki dan seorang wanita dengan terdapat suspek yang tinggal di kawasan perumahan sama.

“Kejadian bukan disebabkan mabuk dan kita berjaya merampas beberapa senjata yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu. Motif kejadian masih dalam siasatan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN