KUALA LUMPUR – Seorang pegawai bank memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa terdapat kemasukkan wang RM19.3 juta ke dalam akaun atas nama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Pengurus Kewangan CIMB Bank, Cawangan Menara CIMB KL Sentral, Lee Hui Nee berkata kesemua wang itu menerusi 28 transaksi yang mana akaun tersebut didaftarkan sebagai ‘Current Account-i’ dan jenis perniagaan didaftarkan adalah ‘Political Party’.
Menurut saksi pendakwaan kedua itu, seramai lima individu merupakan pemohon bagi pembukaan akaun bank tersebut antaranya Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Dalam pada itu, semasa menjawab soalan tambahan pendakwaan berhubung “Suspicious Transaction Report” (STR) (Laporan Transaksi Mencurigakan) saksi itu memaklumkan beliau pernah membuat laporan STR.
Ditanya sama ada pihak bank mempunyai kuasa untuk menghalang wang dari luar dimasukkan ke dalam akaun bank parti Bersatu dan saksi itu menjawab bank tidak boleh menghalang kemasukkan wang ke dalam akaun bank Bersatu.
Pendakwaan: Dalam kes ini pernah atau tidak pihak bank menghalang kemasukkan wang ke akaun Bersatu?
Saksi: Tidak pernah
Pendakwaan: Boleh ingat berapa jumlah wang dimasukkan ke akaun CIMB?
Saksi: Ada berpuluh-puluh juta
Pendakwaan: Selepas 1 Disember 2020 atau sebelum?
Saksi: Selepas 1 Disember 2020
Disoal lanjut, bagaimana petanda amaran mencurigakan (red flag) boleh berlaku dalam sesuatu akaun bank, saksi itu menjawab, “akaun yang ada transaksi ‘high volume’ dan tidak konsisten dengan akaun profil.
Sementara itu, saksi itu bersetuju ketika disoal balas cadangan peguam, bahawa beliau tidak boleh merumuskan transaksi itu adalah tidak sah kerana tidak pernah ditunjukkan dengan laporan STR oleh BNM.
Perbicaraan di hadapan Hakim Noor Ruwena Md Nurdin bersambung lagi esok.
Mengikut pertuduhan pertama hingga keempat, Muhyiddin, 79, didakwa sebagai Perdana Menteri dan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), menggunakan kedudukan untuk suapan wang berjumlah RM225.3 juta daripada seorang individu dan tiga syarikat sekutu parti itu.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra di Putrajaya antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021 yang didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.
Hukuman bagi seksyen itu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kelima hingga ketujuh, Muhyiddin selaku Presiden Bersatu didakwa menerima hasil daripada aktiviti haram, iaitu wang berjumlah lebih RM200 juta daripada sebuah syarikat yang dimasukkan ke akaun CIMB Bank dan AmBank milik parti.
Bagi pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) dibaca bersama Seksyen 87(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara sehingga 15 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau RM5 juta, mengikut mana lebih tinggi. – KOSMO! ONLINE














