PETALING JAYA – Keterujaan orang ramai menantikan bayaran balik cukai pendapatan mula dirasai apabila beberapa pengguna media sosial mendakwa wang daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) sudah mula dimasukkan ke akaun bank masing-masing.
Perkongsian seorang pengguna di platform Threads mencuri perhatian apabila memaklumkan wang refund LHDN miliknya sudah selamat masuk ke akaun bank.
“Refund LHDN aku dah masuk akaun wahai orang kampungggg!!!,” tulisnya dalam hantaran yang kemudiannya mendapat perhatian ramai pengguna lain.
Menjawab pertanyaan seorang pengguna lain mengenai bank yang menerima bayaran tersebut, pemilik akaun berkenaan menjelaskan wang berkenaan dimasukkan ke akaun bank “Harimau”, iaitu panggilan popular bagi Maybank.
Di ruangan komen, ramai pengguna media sosial turut meluahkan rasa teruja dan berharap giliran mereka menerima bayaran tersebut akan tiba dalam masa terdekat.
“Kene bagitau supaya yang lain ‘get ready, maybe it will be your turn’,” tulis pemilik akaun tersebut lagi bagi memberi semangat kepada pembayar cukai lain.
Tinjauan di media sosial mendapati ramai netizen mula berkongsi pengalaman sama selepas menyemak akaun bank masing-masing, sekali gus mencetuskan keterujaan kerana wang tersebut boleh digunakan sebagai persiapan menjelang Aidilfitri.
“Alhamdulillah kalau dah masuk, bolehlah tambah bajet raya,” kata seorang pengguna yang turut berharap bayaran balik cukai miliknya diproses dalam masa terdekat.- KOSMO! ONLINE.














