KLUANG – Suami aku! Itu jeritan seorang wanita saat menyedari kereta dinaiki suaminya bersama dua anak terbakar dalam kemalangan di Kilometer 70, Jalan Kota Tinggi – Kluang berhampiran Ladang Tabung di sini kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12 tengah malam itu, mangsa, Mohd. Nor Salihin, 37, meninggal dunia selepas kereta dipandunya melanggar sebuah jentera berat sebelum kenderaan itu terbalik dan terbakar.
Bercerita mengenai kejadian, adik Mohd. Nor, Umi Qurratul Ain, 20, berkata, nahas berlaku ketika mereka dalam perjalanan pulang ke rumah kakak iparnya di Taman Gunung Lambak selepas berbuka puasa di rumah ibunya di Bandar Tenggara.
“Kami menaiki dua buah kereta dengan abang memandu sebuah kereta bersama dua anak tirinya berusia tujuh dan 10 tahun sementara saya bersama kakak ipar dan ibu mentua dengan kereta lain.
“Abang bergerak dahulu dan kami mengekorinya dari belakang, namun agak jauh sebelum kakak ipar secara tiba-tiba memperlahankan kenderaan selepas melihat kemalangan seraya bertanya kepada saya siapa yang terbabit dalam nahas itu.
“Namun sebaik kami semakin hampir (lokasi nahas), kakak ipar tiba-tiba menjerit ‘suami aku… suami aku!’ selepas menyedari kereta yang terbalik itu adalah milik abang,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Tambahnya, kakak iparnya terus memberhentikan kereta di tepi jalan dengan orang awam membantu memecahkan cermin kenderaan bagi mengeluarkan dua kanak-kanak terbabit sebelum api semakin marak.
“Ketika itu abang masih tersepit di tempat duduk pemandu. Dengan bantuan orang ramai akhirnya abang berjaya dikeluarkan walaupun sebelah kakinya sudah melecur.
“Saya terus memangkunya dan sempat mengajarnya mengucap beberapa kali kerana ketika itu abang masih bernyawa walaupun tiada sebarang reaksi.
“Apabila seorang anggota bomba menutup wajah abang dengan jaket ketika itu saya tahu abang telah tiada,” katanya.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, siasatan awal mendapati mangsa dipercayai tidak sempat mengelak jentera berat yang berada di laluan sama sebelum kereta terbalik dan terbakar.
“Pemandu disahkan meninggal akibat kecederaan parah di kepala dan badan. Dua penumpang kereta selamat. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya.














