KUALA LUMPUR – Penyanyi Amira Othman mendedahkan sebilangan netizen bertindak keterlaluan dengan mengeluarkan kata-kata kesat terhadapnya setiap kali dia melakukan sesi ‘live’ dalam media sosial.
Lama bertahan, kata Amira atau nama lengkapnya Nadia Amira Othman, 33, dia mengambil pendekatan untuk tidak menghiraukan pembenci yang cuba merobohkan tembok kesabarannya.
“Sebenarnya banyak kali saya kena serang dengan netizen terutamanya ketika saya lakukan sesi ‘live’. Macam-macam perkataan mereka cakap. Sundal, bodoh dan macam-macam lagi yang nak sebut pun tak tergamak di bulan puasa ni.
“Tetapi saya tak pernah respons terhadap komen sebegitu. Kalau saya ternampak ‘moderator’ akan terus sekat,” katanya ketika ditemui pada sidang media pelancaran video muzik lagu Bincang Raya, di sini semalam.
Tambah bekas peserta Akademi Fantasia 2014 itu lagi, netizen terlalu bebas berkata-kata tetapi akan marah bila dia cuba mempertahankan diri sendiri.
“Pembenci ni kalau kita buat apa sekali pun dia tetap tak suka kita. Kadang-kadang saya bergurau balas balik ketika ‘live’ mereka marah saya. Mungkin yang marah tu yang bercakap tidak baik tentang saya.
“Kadang-kadang mereka terlalu bebas untuk bercakap tentang kita. Tetapi bila kita cuba ‘defend’ diri kita, mereka pula yang marah.
“Jadi langkah terbaik adalah kita tak payah layan golongan pembenci ini kerana membuang masa. Kalau saya layan saya sendiri akan stres. Saya sentiasa ingat pesanan bapa dari awal lagi jangan layan pembenci,” jelasnya.
Ditanya sama ada terkilan kerana setiap gerak geri dan tindakannya pasti akan menjadi sasaran pembenci dan dihujani dengan kecaman, kata Amira dia tidak dapat mengawal tindakan orang lain.
“Bukanlah nak kata terkilan, tetapi bukan senang menjadi saya. Saya tak boleh kawal apa orang nak kata tentang saya. Selagi saya berada dalam industri inilah perkara yang perlu saya akur.
“Apa yang saya boleh katakan berhati-hatilah dalam percakapan kerana negara kita ada undang-undang tentang buli siber.
“Nak tegur boleh tak ada masalah, tetapi gunakanlah perkataan dan ayat yang baik yang paling berakhlak yang kita boleh. Kita sama-sama manusia yang sentiasa buat silap,” ujarnya
Terdahulu, tular video Amira membalas komen pembenci ketika melakukan sesi ‘live’ bersama suaminya baru-baru ini. – KOSMO! ONLINE














