fbpx
Diana mengesahkan lelaki yang selalu menemaninya kini merupakan teman istimewa yang dikenali sejak tahun lalu.

Diana Danielle sahkan punya kekasih, ahli perniagaan bujang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Semakin terbuka dalam soal hubungan, pelakon Diana Danielle mengesahkan lelaki yang selalu menemaninya merupakan teman istimewa yang dikenali sejak tahun lalu.

Diana atau nama lengkapnya Diana Danielle Danny Beeson, 34, berkata sudah membuka buku baharu dalam kehidupan apabila kini rapat dengan lelaki berstatus bujang itu.

“Perkara ini bukan sesuatu yang besar bagi saya dan rasanya tak salah (jalin hubungan) memandangkan sudah hampir setahun bab itu (perceraian) berlaku dalam hidup saya.

“Saya fikir sudah sampai masanya (buka pintu hati), malah saya semakin sedia untuk ‘move on’.

“Saya kini mengenali seseorang yang sesuai, matang, jadi kita boleh buat keputusan sendiri,” katanya selepas pelancaran single Raya Macam Mana? duet bersama penyanyi rap, Francis Roman di Red Box Karaoke, The Gardens Mall, hari ini.

Mengenai sama ada berhadapan kesulitan sebelum terbuka menjalin hubungan baru dengan ahli perniagaan terbabit, kata ibu tunggal anak dua itu kesukaran mungkin lebih dirasai kekasihnya.

Bagaimanapun, pelakon filem Imaginur itu berkata, dia akan cuba mencari jalan terbaik sebelum mengambil sebarang keputusan penting selepas ini.

“Saya rasa memang susah untuk dia (kekasih) kerana saya sukar untuk percayakan orang baru.

“Lagipun saya ada anak, takut ada isu sampingan dan sebagainya. Jadi, saya cuba uruskan perkara ini dengan perlahan, berhati-hati serta cuba untuk tak salah langkah,” ujarnya.

Ditanya penerimaan anak, akuinya buat masa ini dia hanya memfokuskan hubungan sesama mereka saja.

“Sekarang dia kerap dengan saya sahaja, bukan dengan anak-anak. Saya pilih tak campur adukkan perkara itu,” katanya.

Pada masa sama, Diana juga tidak meletakkan sebarang sasaran sebaliknya hanya berserah kepada-Nya untuk urusan jodoh.

“Masih terlalu awal bercakap soal ke depan. Segala-galanya masih terlalu awal, kita jalani saja dengan tenang,” ujarnya.

Sementara itu, mengenai single Raya Macam Mana?, katanya kolaborasi bersama penyanyi rap, Francis Roman adalah sesuatu yang sangat istimewa.

Diana turut menyelitkan lirik dalam bahasa Mandarin sebagai simbol
pembelajarannya serta mencerminkan kepelbagaian budaya masyarakat Malaysia.

“Pendekatan sebegini secara tidak langsung menonjolkan semangat perpaduan apabila rakyat Malaysia saling meraikan budaya antara satu sama lain,” ujarnya.

Terdahulu, Diana pernah mendirikan rumah tangga dengan aktor, Farid Kamil pada 3 November 2012 serta dikurniakan dua cahaya mata, Muhammad dan Nur Aurora.

Begitupun mereka bercerai kali pertama secara Google Meet pada 10 Ogos 2023, sebelum rujuk, namun akhirnya bercerai talak satu buat kali kedua pada 23 Mac 2025.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN