fbpx
Syed Saddiq (tengah) bersama peguamnya ketika hadir di Mahkamah Persekutuan di Putrajaya hari ini. Foto oleh SADDAM YUSOFF / KOSMO!

Dana Parlimen Muar: Mahkamah Persekutuan benarkan rayuan Syed Saddiq

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA – Mahkamah Persekutuan di sini membenarkan permohonan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan tiga pihak mendapatkan kebenaran merayu berkaitan tindakan kerajaan memberhentikan peruntukan dana RM730,300 bagi tujuan perbelanjaan kebajikan rakyat Parlimen Muar.

Keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga hakim yang diketuai oleh Datuk Nordin Hassan yang turut bersidang bersama Datuk Lee Swee Seng dan Datuk Collin Lawrence Sequerah.

Dalam penghakiman ringkasnya, Hakim Nordin berkata, permohonan itu telah memenuhi syarat minimum yang diperlukan di bawah Seksyen 96 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 berkaitan dengan syarat-syarat rayuan ke Mahkamah Persekutuan.
“Pemohon telah memenuhi threshold (ambang peruntukkan ) di bawah Seksyen 96 dan oleh itu permohonan kebenaran merayu adalah dibenarkan,” kata Hakim Nordin.

Semasa prosiding itu, Peguam Kanan Persekutuan, Norhafizah Azizan mewakili Kerajaan selaku responden, manakala peguam Lim Wei Jiet mewakili Syed Saddiq.

Ahli Parlimen Muar itu bersama-sama tiga pengundi, Najib Abu Nawar, Mohd Bakirudin Abdullah dan Muhamad Fadzly Bisri memohon kebenaran untuk merayu keputusan Mahkamah Rayuan yang menolak rayuannya sebelum ini.

Pada 27 Oktober tahun lalu, panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Seri Hashim Hamzah bersetuju dengan keputusan Mahkamah Tinggi bahawa semakan kehakiman yang difailkan perayu (Syed Saddiq) pada 23 April 2024 adalah jelas di luar tempoh masa yang ditetapkan.

Ketika ditemui selepas tamat prosiding, Wei Jiet memaklumkan mahkamah juga telah membenarkan beberapa persoalan undang-undang untuk dikemukakan ke Mahkamah Persekutuan.

Katanya, persoalan pertama adalah berkaitan had masa untuk memfailkan semakan kehakiman kerana lazimnya ia perlu difailkan dalam tempoh tiga bulan dari tarikh pemohon bagi mengetahui alasan mencabar keputusan itu.

“Persoalan kedua dan ketiga pula adalah mengenai keputusan pihak eksekutif (kerajaan) untuk menarik balik peruntukan kawasan Parlimen kepada seseorang Ahli Parlimen boleh disemak oleh mahkamah atau ia merupakan keputusan dalam bidang kuasa eksekutif yang tidak boleh dicampuri oleh mahkamah.

“Apabila peruntukan bagi sesuatu kawasan Parlimen kepada seorang Ahli Parlimen ditarik balik atau dinafikan, adakah keputusan tersebut boleh tertakluk kepada semakan kehakiman atas alasan pelanggaran hak kesamarataan yang dijamin di bawah Perkara 8(1) Perlembagaan Persekutuan, pelanggaran doktrin pengasingan kuasa atau dibuat secara mala fide (niat jahat),” katanya.

Bagaimanapun, tarikh pendengaran rayuan itu belum ditetapkan oleh pihak mahkamah.

Dalam permohonan semakan kehakiman difailkan pada 23 April 2024, Syed Saddiq dan tiga pengundi kawasan itu memohon perintah bagi membatalkan keputusan kerajaan memberhentikan atau membatalkan baki RM500,000 daripada jumlah RM1.7 juta.

Peruntukan itu sepatutnya disalurkan secara terus kepada akaun bank Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Muar bagi tujuan perbelanjaan program kebajikan, kesejahteraan rakyat dan bantuan bencana di kawasan Parlimen Muar.

Mereka turut menuntut supaya akses Syed Saddiq kepada sistem myKHAS yang menguruskan dana pembangunan RM2 juta untuk kawasan Parlimen dan pembatalan beberapa projek yang telah diluluskan bernilai RM230,300, dikembalikan.

Selain itu, mereka mencabar tindakan responden enggan meluluskan sebarang peruntukan kepada Syed Saddiq sebagai Ahli Parlimen Muar, bagi program di bawah inisiatif ‘Projek Mesra Rakyat’ atau program seumpamanya bagi 2024.

Mereka mendakwa tindakan tersebut menafikan hak kesamarataan Syed Saddiq selaku Ahli Parlimen Muar dan tiga pemohon lain sebagai pengundi kawasan Parlimen itu seperti termaktub dalam Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan (hak kesamarataan). – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN