SHAH ALAM – Bekas Penolong Pegawai Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan mengemukakan borang penilaian kerja palsu pekerja di bawah seliannya, dua tahun lalu.
Tertuduh, Maheran Abd. Malik, 54, membuat pengakuan berkenaan selepas 16 pertuduhan dibacakan kepadanya di hadapan Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud.
Untuk lapan pertuduhan utama, Maheran didakwa memperdaya Pegawai Kemas Daerah Hulu Langat dan Penolong Pegawai Komuniti dan Kemahiran Parlimen dengan mengemukakan Borang Penilaian Pencapaian Output pekerja seliannya berusia 28 tahun dari bulan Julai 2023 hingga April 2024 yang mengandungi butir matan palsu, meskipun pekerja itu gagal mencapai output tersebut kerana tidak hadir bertugas.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seskyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai butir matan palsu atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.
Wanita itu juga didakwa lapan pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekiranya disabitkan kesalahan. Kesemua kesalahan ini dilakukan pejabat Kemas daerah Hulu Langat dari 31 Julai 2023 hingga 30 April 2024.
Pegawai Pendakwa SPRM, Muhammad Arif Asyraf Mohd. Khairi mencadangkan jaminan RM15,000 bagi semua pertuduhan namun Peguam Suzanawati Ismail memohon dikurangkan kepada 8,000 susulan anak guamnya mempunyai tiga orang anak termasuk seorang masih bersekolah.
Mahkamah membenarkan ikat jamin RM10,000 bersama seorang penjamin dengan syarat tambahan melapor diri di pejabat SPRM Shah Alam pada minggu pertama setiap bulan, menyerahkan pasport kepada mahkamah dan tidak boleh menganggu saksi pendakwaan. Sebutan semula kes pada 13 Mei depan. – KOSMO! ONLINE














