KUALA LUMPUR – Anak kedua Amyza Aznan, Adrian Adam Khairil Idzhar tidak dapat menahan sebak apabila berkongsi rasa rindu terhadap abangnya Allahyarham Andre Mikael yang meninggal dunia pada 23 Januari lalu akibat kanser paru-paru tahap tiga.
Menurut Adrian, 18, pemergiaan abangnya membuatkan dirinya membayangkan untuk menyambut Aidilfitri tahun ini.
“Saya rindukan figura Andre, sepanjang bersama, kami adik-beradik tidak pernah bergaduh.
“Setakat ini saya belum terfikir lagi sama ada akan memakai baju raya warna kuning yang Andre pilih. Kami masih tidak terfikir mengenai sambutan raya,”katanya yang ditemui Kosmo! Online di Angkasapuri di sini, hari ini.
Adrian yang disahkan menghidap kanser tulang pada Ramadan pertama lalu tidak tertekan dengan ujian yang menimpanya dan berharap diberikan kesembuhan
Ujarnya, disebabkan masalah kesihatan dialami dia juga terpaksa menangguhkan niat untuk menyambung pengajian.
“Saya sentiasa berfikirkan positif, setakat ini tak ada rasa tertekan atau murung.
“Fokus saya sekarang adalah untuk kesembuhan dan saya tidak putus berdoa agar diberikan kesihatan.
“Memang sepatutnya saya nak menyambung pengajian dalam bidang muzik tetapi terpaksa ditangguhkan buat sementara waktu untuk jalani rawatan,” katanya.
Terdahulu, Adrian bersama Amyza hadir ke Angkasapuri untuk bertemu dengan Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching.
“Hari ini Timbalan Menteri menyampaikan sumbangan dan berjanji untuk memastikan Adrian mendapat tempat rawatan yang sesuai dan terbaik.
“Kami amat berterima kasih di atas keprihatinan ditunjukan beliau, begitu juga keprihatinan seluruh rakyat Malaysia yang tahu kisah kami.
“Kami sangat terharu dengan doa dan kata-kata semangat diberikan. Ini sedikit sebanyak mengubat kedukaan di hati kami,” katanya.
Sebelum ini, Allahyarham Andre menghidap kanser paru-paru tahap tiga sejak setahun lalu meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada 23 Februari lalu.
Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana.
Ujian buat Amyza tidak terhenti di situ apabila Adrian pula disahkan menghidap kanser tulang sejak Februari lalu.
Difahamkan, Adrian kini sedang menjalani rawatan alternatif bagi mendepani penyakit berkenaan. –KOSMO! ONLINE














