fbpx
Hassan 'As'ari Omar

Trend mangsa kebakaran ditemui dalam bilik air membimbangkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Trend mangsa kebakaran ditemukan meninggal dunia dalam bilik air atau tandas semakin membimbangkan apabila ramai yang menyangka lokasi tersebut adalah tempat paling selamat untuk berlindung ketika kebakaran.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Kuala Lumpur, Hassan ‘As’ari Omar berkata, beberapa kes kematian direkodkan dalam keadaan mangsa dijumpai dalam bilik air sebaik api dipadamkan.

“Bagi 2024, dua kes dilaporkan melibatkan dua lelaki yang maut dalam kejadian di hadapan Scott Garden dan seorang kanak-kanak meninggal dunia dalam kebakaran di Jalan Tepi Sungai Lok Yu.

“Pada 2025 pula, sebanyak lima kes direkodkan melibatkan mangsa yang dijumpai dalam bilik air termasuk di Perumahan Awam Sri Terengganu, Blok B Flat Hang Tuah, Residensi di Taman Jinjang Baru serta Flat Sentul Utama,” katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini hari ini.

Jelasnya, ramai mangsa memilih bilik air untuk berlindung kerana menyangka air dapat membantu mereka mengelakkan bahang api, tanpa menyedari suhu air boleh meningkat dengan cepat dan menyebabkan keadaan menjadi lebih berbahaya.

“Jika berlaku kebakaran membabitkan banyak unit kediaman, tahap kesiapsiagaan amat penting kerana bantuan daripada satu balai bomba sahaja mungkin tidak mencukupi.

“Keadaan menjadi lebih sukar apabila anggota bomba tiba di lokasi, tetapi sistem keselamatan bangunan seperti pam air atau sistem kebakaran tidak berfungsi,” katanya.

Mengulas punca kebakaran di bangunan strata, pihak bomba berkata, kebanyakan kes berpunca daripada masalah elektrik selain kecuaian manusia.

Katanya, antara faktor yang dikenal pasti termasuklah penggunaan peralatan elektrik yang tidak mempunyai pensijilan keselamatan dan pembelian barangan elektrik murah secara dalam talian.

Selain itu, terdapat kes kebakaran berpunca daripada penggunaan peralatan bagi aktiviti terlarang serta pengecasan telefon bimbit ketika tidur yang boleh menyebabkan risiko bateri menjadi terlalu panas.

Sehubungan itu, orang ramai diingatkan supaya lebih berhati-hati menggunakan peralatan elektrik dan memastikan hanya produk yang mempunyai pensijilan keselamatan digunakan bagi mengelakkan kejadian kebakaran. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN