PUTRAJAYA- Kerajaan akan mengambil tindakan tegas diambil terhadap mana-mana individu yang cuba menyeludup atau menyalahgunakan bekalan minyak masak peket bersubsidi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tindakan itu selaras dengan peraturan larangan pembelian minyak masak peket bersubsidi kepada bukan warganegara berkuat kuasa 1 Mac lalu.
“Mulai 1 Mac ini, kita telah menguatkuasakan larangan penjualan dan pembelian minyak masak peket bersubsidi 1 kilogram kepada bukan warganegara.
“Ya, ini (tindakan) wajar. Mana mungkin subsidi diberikan kepada bukan warganegara. Ini yang kita laksanakan dulu dalam program elektrik dan Budi95, (jadi) pastikan pelaksanaannya itu berkesan.
“Kalau ada yang cuba seludup dan sebagainya harus tegas dalam tindakan kita dan (perlu) jalankan tanggungjawab dengan sebaik mungkin,” katanya ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Perdana Menteri bersama warga Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), di sini hari ini.
Dalam pada itu, Anwar merakamkan penghargaan kepada seluruh jentera KPDN yang komited membantu kerajaan mengawal kos sara hidup rakyat.
“Ini mungkin kedengaran mudah, tetapi bayangkan pada bulan Ramadan ini sahaja, sebanyak 1,898 Program Jualan Rahmah Madani (PJRM) dilaksanakan.
“Walaupun ada pihak yang mungkin tidak menyedari usaha di sebalik pelaksanaan program berkenaan, PJRM sebenarnya memerlukan komitmen besar daripada jentera kerajaan.
“Orang yang hanya mengikuti program ini mungkin menganggapnya sebagai perkara biasa kerana ia program kerajaan. Tetapi jika dibandingkan dengan tahun-tahun lalu, jumlah program yang dahulu hanya puluhan kini telah meningkat kepada ribuan,” katanya. – KOSMO! ONLINE














