fbpx
SUBAHAN KAMAL

Subahan pertahan pencapaian Speedy Tigers

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Datuk Seri Subahan Kamal menegaskan kelayakan Speedy Tigers ke Piala Dunia Hoki Lelaki 2026 wajar dilihat sebagai satu pencapaian membanggakan dan bukannya sesuatu yang mengecewakan.

Menurutnya, persepsi negatif segelintir pihak yang mempersoalkan prestasi pasukan tidak mengambil kira realiti sebenar saingan hoki dunia yang sangat kompetitif.

“Bagi saya, kita perlu melihat perkara ini secara praktikal. Layak ke Piala Dunia sendiri sudah merupakan satu pencapaian besar kerana hanya 16 pasukan terbaik dunia yang berada di pentas itu,” katanya.

Beliau menjelaskan ramai pihak gagal memahami bahawa ratusan negara bersaing di peringkat antarabangsa, namun hanya segelintir mampu menempatkan diri dalam kelompok elit dunia.

“Ramai orang tidak sedar bahawa terdapat ratusan pasukan yang bermain hoki di seluruh dunia. Untuk berada dalam kelompok 16 terbaik dan layak ke Piala Dunia sudah satu pencapaian yang besar,” ujarnya.

Malah, Subahan menegaskan beberapa kuasa hoki dunia turut gagal melayakkan diri ke kejohanan tersebut, sekali gus membuktikan betapa sengitnya saingan di peringkat antarabangsa.

Tambah beliau, kejayaan melayakkan diri ke Piala Dunia sebanyak empat edisi berturut-turut juga membuktikan konsistensi Speedy Tigers meskipun berdepan pelbagai kekangan.

“Kita masih mampu layak ke Piala Dunia empat kali berturut-turut walaupun berdepan pelbagai cabaran termasuk isu kewangan dan kekurangan penajaan,” katanya.

Bagaimanapun, Subahan mengakui masih terdapat beberapa aspek permainan yang perlu diperbaiki, khususnya dari segi pertahanan dan posisi penjaga gol.

Subahan turut menegaskan fokus seterusnya skuad negara adalah menghadapi Sukan Asia 2026 yang menjadi sasaran utama selepas ini, lebih-lebih lagi kejohanan tersebut dijadual berlangsung hanya kira-kira tiga minggu selepas Piala Dunia Hoki Lelaki 2026. KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN