SIK – Seorang lelaki maut, manakala isterinya cedera parah selepas motosikal yang mereka naiki berlanggar dengan sebuah lori ais di Jalan Simpang Tiga berhampiran Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sik, semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.55 petang itu, lelaki berusia 40 tahun meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada anggota badan.
Ketua Polis Daerah Sik, Superintendan Shamzury Saman berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika kedua-dua mangsa yang menaiki motosikal jenis Yamaha Y15ZR dalam perjalanan dari arah Batu Lima menghala ke Pekan Sik.
“Ketika motosikal itu sedang bergerak lurus, sebuah lori ais yang datang dari arah bertentangan iaitu dari Pekan Sik menghala ke Hospital Sik telah membelok masuk ke simpang sebelah kanan sebelum berlaku perlanggaran.
“Perlanggaran berlaku di bahagian tengah sebelah kiri lori berkenaan. Akibat rempuhan itu, penunggang motosikal meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pemboncengnya cedera dan dibawa ke Hospital Sik untuk rawatan lanjut,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, lori tersebut ditahan untuk pemeriksaan lanjut, manakala hasil ujian saringan urin yang dilakukan terhadap pemandu lori didapati negatif bahan terlarang. – KOSMO! ONLINE






