KEKALAHAN 4-5 kepada Jepun tidak menjejaskan misi Speedy Tigers untuk menempah tiket ke Piala Dunia Hoki Lelaki 2026 selepas berjaya memperoleh slot kelayakan menerusi kedudukan ranking dunia.
Malaysia mengesahkan tempat ke kejohanan berprestij itu sebagai pasukan yang memiliki ranking tertinggi dalam kalangan pasukan yang tewas pada perlawanan penentuan tempat ketiga di kejohanan kelayakan.
Ketua jurulatih negara, Sarjit Singh menegaskan sasaran utama pasukannya di Mesir sejak awal adalah untuk memastikan tiket ke Piala Dunia berada dalam genggaman.
“Sejak awal lagi kami datang ke sini dengan satu misi, iaitu untuk layak ke Piala Dunia. Akhirnya kami berjaya mencapai sasaran itu dan perkara tersebut paling penting buat pasukan,” katanya.
Mengulas aksi menentang Jepun, Sarjit mengakui pemain sebenarnya mempamerkan persembahan yang baik dan berjaya mengawal permainan dalam beberapa fasa penting perlawanan.
“Secara keseluruhan saya rasa prestasi pasukan tidak terlalu buruk. Kami menggerakkan bola dengan baik dan sempat mendahului 3-1 sebelum lawan bangkit semula,” ujarnya.
Menurutnya, faktor keletihan selepas mengharungi beberapa perlawanan sengit sepanjang kejohanan mungkin menjejaskan tumpuan pemain pada penghujung aksi, selain mengingatkan kelayakan ke Piala Dunia tidak boleh membuatkan skuad negara berasa selesa kerana cabaran lebih besar menanti.
“Mungkin selepas perlawanan sebelum ini pemain agak penat, tetapi mereka tetap berusaha memberikan yang terbaik sepanjang permainan.
“Kami ada kira-kira tiga bulan untuk membuat persiapan menghadapi Piala Negara-Negara dan kira-kira enam bulan sebelum Piala Dunia,” jelas jurulatih itu.














