KUALA LUMPUR – Dua kandungan dalam aplikasi TikTok yang dikatakan suara dan visual bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dimainkan dan ditayangkan di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.
Saksi pendakwaan pertama yang juga Penolong Penguasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd. Shawaludin Said, 37, berkata, kedua-dua kandungan TikTok milik dua individu itu adalah masing-masing pada 16 Januari dan 26 Julai 2025.
Menurut saksi itu, kandungan pertama adalah rakaman suara Muhyiddin yang mana Ahli Parlimen Pagoh itu menafikan beliau menerima rasuah, manakala satu lagi rakaman memaparkan visual dan suara Muhyiddin berucap di suatu tempat.
“Pemilik akaun bagi rakaman pertama dimuat naik oleh individu menggunakan nama ‘@’ pada 22 September 2024, berdurasi 17 saat. Rakaman kedua dimuat naik oleh pengguna aplikasi atas nama ‘@wanhadi21’ yang mana saya tidak mengenali individu berkenaan,” kata saksi itu.
Rakaman audio yang dimuat turun daripada akaun TikTok @puterishantek berbunyi: “Tuduhan pada saya ialah saya salah guna kuasa. Tuduhan pada saya, saya terima rasuah. mana saya terima, wallahi satu sen pun tak masuk poket saya, dia masuk pada parti.
Katanya, rakaman itu dilihat ketika dia berada di rumahnya sebelum dia terus memaklumkan kepada Pegawai Penyiasat, Penolong Pesuruhjaya SPRM iaitu Mazery Mohd. Zaini.
Tambahnya, dia kemudian diarahkan untuk memuat turun audio dan melakukan ‘screen recording’ terhadap kedua-dua rakaman dari dua akaun TikTok selain membuat transkripsi audio dan klip video terbabit.
Sementara itu ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Wan Nur Iman Wan Ahmad Afzal adakah saksi itu yakin bahawa suara itu milik Muhyiddin, saksi itu mengakui ia memang suara tertuduh.
“Saya yakin suara itu suara Tan Sri Muhyiddin, kerana beliau pernah menjadi Perdana Menteri pada tahun 2020 dan 2021…saya cam suara dia,” kata saksi tersebut.
Sementara itu, ketika pemeriksaan balas oleh peguam Datuk Amer Hamzah Arshad, saksi itu mengaku tidak menyiasat siapa yang memasukkan kapsyen, geolokasi dan hashtag (tanda pagar) dalam video TikTok berkenaan.
Peguam: Adakah anda pernah mendengar tentang AI? Kecerdasan buatan?
Saksi: Ya.
Peguam: Jika anda tidak menyiasat kesahihannya, bolehkah anda tahu sama ada ini (video) dijana AI atau tidak?
Mohd Syawaludin: Saya tidak boleh.
Peguam: TikTok bukan bukti yang boleh dipercayai.
Saksi: Saya tidak setuju.
Perbicaraan di hadapan Hakim Noor Ruwena Md Nurdin bersambung lagi esok.
Mengikut pertuduhan pertama hingga keempat, Muhyiddin, 79, didakwa sebagai Perdana Menteri dan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), menggunakan kedudukan untuk suapan wang berjumlah RM225.3 juta daripada seorang individu dan tiga syarikat sekutu parti itu.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra di Putrajaya antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021 yang didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.
Hukuman bagi seksyen itu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kelima hingga ketujuh, Muhyiddin selaku Presiden Bersatu didakwa menerima hasil daripada aktiviti haram, iaitu wang berjumlah lebih RM200 juta daripada sebuah syarikat yang dimasukkan ke akaun CIMB Bank dan AmBank milik parti.
Bagi pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) dibaca bersama Seksyen 87(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara sehingga 15 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau RM5 juta, mengikut mana lebih tinggi. – KOSMO! ONLINE














