PETALING JAYA – Pejabat Perdana Menteri (PMO) memaklumkan terdapat beberapa berita baik untuk rakyat menjelang Aidilfitri.
Menurut Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah, perkara itu akan diumumkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam masa terdekat ini.
“Insya-Allah, Perdana Menteri akan mengumumkan beberapa lagi berita baik buat rakyat dalam masa terdekat menjelang sambutan Aidilfitri,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa siaran langsung taklimat harian PMO di media sosial, hari ini.
Terdahulu, Perdana Menteri telah membuat beberapa pengumuman termasuk pengkreditan awal Sumbangan Tunai Rahmah Fasa 2 yang bermula esok, penyaluran Bantuan Khas Kewangan 2026 melibatkan penjawat awam, pesara dan veteran, selain Imam, Bilal, Guru Kafa dan sebagainya.
Selain itu, turut diumumkan peluasan siri Program Jualan Rahmah Madani di seluruh negara, selain peluasan inisiatif subsidi tiket penerbangan FlySiswa.
PMO berharap segala bantuan, ikhtiar, serta langkah yang diumumkan itu dapat memberi kelegaan kepada rakyat, khususnya dalam menghadapi tekanan kos sara hidup dan membuat persiapan menjelang sambutan Aidilfitri. – KOSMO! ONLINE














