fbpx
ONN HAFIZ beramah mesra dengan penerokawati pada Majlis Berbuka Puasa Menteri Besar Johor bersama Warga Felda Negeri Johor di Johor Bahru, semalam.

Peruntukan RM12.3 juta perkasa komuniti Felda Johor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JOHOR BAHRU – Kerajaan Negeri Johor memperuntukkan sebanyak RM12.3 juta bagi menyokong pembangunan serta kesejahteraan komuniti Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) di negeri ini.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, inisiatif berkenaan bertujuan memastikan kebajikan warga peneroka terus dipelihara selain memperkukuh pembangunan komuniti Felda supaya terus maju dan berdaya tahan.

Jelasnya, antara inisiatif diumumkan termasuk pemberian Geran Aidilfitri sebanyak RM5,000 kepada setiap 73 rancangan Felda di Johor bagi menyemarakkan sambutan Hari Raya Aidilfitri di peringkat rancangan.

“Selain itu, setiap Jawatankuasa Kemajuan Rancangan (JKKR) turut menerima peruntukan RM10,000 manakala Gerakan Persatuan Wanita (GPW) di setiap rancangan menerima RM5,000.

“Kerajaan negeri juga menyalurkan geran RM7,500 kepada setiap pejabat rancangan Felda di Johor bagi membantu pengurusan dan pelaksanaan aktiviti komuniti setempat,”katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Berbuka Puasa Menteri Besar Johor bersama Warga Felda Negeri Johor di sini, semalam.

Onn Hafiz berkata, pada masa sama, sumbangan bakul makanan akan diberikan kepada setiap Ketua Isi Rumah (KIR) yang menetap di rancangan Felda serta kakitangan Felda di negeri ini.

Turut diumumkan peruntukan RM200,000 kepada Sekretariat Muafakat Felda Negeri Johor bagi memperkukuh penyelarasan program pembangunan komuniti.

“Kerajaan negeri juga meneruskan kuota khas haji kepada 10 warga Felda selain mengekalkan kuota khas pinjaman pendidikan tanpa faedah Yayasan Pelajar Johor (YPJ) kepada 50 anak muda Felda untuk melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi.

“Inisiatif berkenaan diharap dapat terus memperkasa komuniti peneroka selain mengukuhkan peranan kepimpinan Felda di peringkat akar umbi dalam menyelaras pembangunan serta kesejahteraan masyarakat setempat,”katanya.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN