PUTRAJAYA- Persiapan kerajaan bagi melaksanakan operasi evakuasi rakyat Malaysia di beberapa negara terjejas akibat konflik di Asia Barat kini berada pada fasa akhir.
Majlis Keselamatan Negara (MKN), Jabatan Perdana Menteri (JPM) berkata, operasi evakuasi itu dilaksanakan atas arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar semua langkah yang perlu digerakkan dengan segera.
Katanya, ia bagi memastikan keselamatan dan kebajikan rakyat Malaysia di kawasan terlibat sentiasa terpelihara.
“MKN akan menyelaras operasi ini dengan kerjasama rapat Kementerian Luar Negeri (KLN) melalui Pejabat Perwakilan Malaysia di negara-negara berkaitan.
“MKN bersama KLN juga akan menyalurkan perkembangan operasi ini secara berkala kepada semua pihak sehingga keseluruhan proses membawa pulang rakyat Malaysia ini selesai ,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, kerajaan Malaysia akan melakukan segala yang termampu bagi memastikan rakyat Malaysia yang terlibat dapat kembali ke tanah air dengan selamat. – KOSMO! ONLINE














