KUALA LUMPUR – Pihak pendakwaan dalam kes bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan membuktikan tujuh pertuduhan yang didakwa terhadap Ahli Parlimen Pagoh itu di Mahkamah Tinggi di sini.
Pendakwaan akan membuktikan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) memperoleh sumbangan wang berjuta-juta ringgit menerusi Muhyiddin yang ketika itu Perdana Menteri.
“Kami akui bahawa wang berjuta-juta tidak masuk poket tertuduh, namun ia masuk ke dalam akaun Bersatu yang merupakan sekutunya yang mana Muhyiddin mempunyai kepentingan secara tidak langsung dalam projek Jana Wibawa. Kami akan bergantung kepada ‘keterangan documentary’ (keterangan berdasarkan dokumen) keterangan terus dan keterangan ikut keadaan dalam membuktikan kes kami. Kami akan memanggil lebih kurang 30 orang saksi.
“Kami akan membuktikan jika tidak kerana tertuduh selaku Presiden Bersatu dan Perdana Menteri, parti itu tidak akan dapat sumbangan berjuta-juta wang,” kata kenyataan pembukaan pihak pendakwaan itu.
Hari ini merupakan hari pertama perbicaraan kes itu yang mana tujuh pertuduhan yang dihadapi Muhyiddin akan berlangsung selama tiga hari ini pada minggu ini di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Noor Ruwena Md. Nurdin.
Sebelum ini Mahkamah Tinggi telah menetapkan 29 hari bagi perbicaraan kes itu. Tarikh-tarikh itu ialah pada 9, 10 dan 11 Mac, 13,16,28 dan 29 April, 25 dan 26 Mei, 6 hingga 10 dan 13 hingga 17 dan 27 hingga 29 Julai, dan 7, 18, 19, 20, 21, 26 dan 27 Ogos 2026.
Hakim Noor Ruwena menetapkan tarikh-tarikh tersebut selepas pihak pendakwaan dan pembelaan bersetuju dengan tarikh-tarikh itu.
Mengikut pertuduhan pertama hingga keempat, Muhyiddin didakwa sebagai Perdana Menteri dan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), menggunakan kedudukan untuk suapan wang berjumlah lebih RM200 juta daripada seorang individu dan tiga syarikat sekutu parti itu.
Bagi pertuduhan kelima hingga ketujuh, Muhyiddin selaku Presiden Bersatu didakwa menerima hasil daripada aktiviti haram, iaitu wang berjumlah lebih RM200 juta daripada sebuah syarikat yang dimasukkan ke akaun CIMB Bank dan AmBank milik parti.
Pada prosiding 7 Oktober tahun lalu, mahkamah dimaklumkan Jabatan Peguam Negara (AGC) menolak representasi Muhyiddin untuk mengugurkan empat pertuduhan menggunakan kedudukan dan tiga pengubahan wang haram (AMLA).
Sehubungan itu, pihak pendakwaan memohon tarikh perbicaraan ditetapkan dan memohon kesemua tujuh pertuduhan didengar secara bersama. – KOSMO! ONLINE














