KUALA LUMPUR – Seorang pelakon wanita dan suaminya sekali lagi ditahan polis bagi membantu siasatan kes penipuan pelaburan membabitkan penjualan lembu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, kedua-dua suspek ditahan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Komersial (BSJK) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.
Menurutnya, tangkapan itu dibuat susulan siasatan berkaitan pelaburan yang ditawarkan kepada orang ramai kononnya melibatkan urusan penjualan lembu.
“Untuk makluman, pelakon dan suaminya telah ditangkap oleh BSJK IPD Dang Wangi berkaitan pelaburan dalam penjualan lembu.
“Kedua-dua suspek akan dibawa ke mahkamah hari ini untuk permohonan reman,” katanya dalam kenyataan ringkas hari ini.
Sebelum ini, Kosmo! melaporkan pasangan berkenaan pernah ditahan bagi membantu siasatan kes penipuan melibatkan urusan penjualan tanah kurnia.
Malah, mereka juga disiasat dalam satu lagi kes penipuan darjah kebesaran negeri yang kononnya membawa gelaran Datuk.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Azahar Abdul Rahim sebelum ini memaklumkan pihaknya menerima laporan daripada seorang pesara kerajaan pada 18 Disember lalu berhubung penipuan tersebut yang membabitkan kerugian kira-kira RM23,000. – KOSMO! ONLINE














