KAMPAR – Seorang pelajar, Mohamad Airell Haqeem Abdul Hakim, 20, maut dalam kemalangan membabitkan dua buah motosikal dan lori di Kilometer (KM) 26.3,Jalan Ipoh-Kuala Lumpur di sini petang tadi.
Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Mohamad Nazri Daud berkata, dalam kejadian pukul 6.45 petang itu, mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha 135 LC dikatakan hilang kawalan secara tiba-tiba sebelum melanggar tayar kiri lori jenis Hino.
“Pada masa sama, sebuah lagi motosikal Yamaha NVX dari arah belakang tidak sempat mengelak dan melanggar mangsa,” katanya hari ini.
Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi ekoran kecederaan parah di kepala. Pemandu lori tidak cedera, manakala seorang lagi penunggang motosikal cedera di kaki kiri. – KOSMO! ONLINE














