KUALA TERENGGANU – Seorang bapa tidak menyangka keengganan anak sulungnya membeli pakaian raya rupa-rupanya menjadi petanda remaja itu akan ‘pergi’ selepas terlibat dalam kemalangan di Kampung Bukit Jeruk, Besut.
Ahmad Azhar Mohamad Yusof, 59, berkata, Ahmad Azreeq Zafreen, 19, yang merupakan anak sulung daripada lima beradik dilihat tidak terlalu ceria untuk menyambut Aidilfitri seperti kelazimannya.
“Biasanya Along (panggilan Ahmad Azreeq Zafreen) yang paling teruja membeli baju raya, malah akan memilih warna kesukaannya. Tahun ini, dia beritahu isteri (Zaleha Awang) tidak mahu beli baju raya.
“Tak sangka itu petanda dia akan pergi,” katanya ketika ditemui di pekarangan Rumah Mayat, Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini hari ini.
Jasad Ahmad Azreeq Zafreen dijumpai bersama motosikal jenis Yamaha Y15 miliknya di kawasan semak di tepi jalan Kampung Bukit Jeruk, Besut pada pukul 6.40 petang semalam selepas tiga hari dilaporkan hilang.
Sebelum itu, mangsa yang bekerja sebagai pembantu di kedai makan milik Ustaz Mad Kecik atau Muhammad Abdullah dalam perjalanan bersama keluarganya yang menaiki kereta Proton Persona untuk bercuti di Cameron Highlands, Pahang.
Ahmad Azreeq Zafreen kali terakhir dilihat keluarganya ketika berhenti di stesen minyak di Beting Lintang, Besut sebelum aplikasi penjejakan lokasi secara langsung yang dipasangnya tiba-tiba terpadam tidak lama selepas itu. – KOSMO! ONLINE














