fbpx
Hussein menunjukkan alat memproses dadah yang dirampas oleh pihaknya pada sidang akhbar di Dewan Pengaman, Pulapol Kuala Lumpur, hari ini. Foto oleh M. FIRDAUS M. JOHARI/KOSMO!

Operasi makmal dadah dalam gudang terbongkar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Polis membongkar sebuah makmal haram memproses dadah selepas menyerbu sebuah gudang di kawasan Taman Perindustrian Subang, Subang Jaya, Selangor pada 2 Mac lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, serbuan itu dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Subang Jaya hasil maklumat risikan serta aduan awam.

Menurut beliau, pemeriksaan di gudang tersebut menemukan pelbagai bahan kimia serta peralatan yang dipercayai digunakan untuk memproses dadah.

“Antara yang dirampas ialah 214 tong mengandungi cecair disyaki bahan kimia, tiga tong mengandungi serbuk disyaki bahan kimia, serta lima botol berisi serbuk disyaki bahan kimia.

“Turut dirampas serbuk disyaki bahan kimia seberat 0.94 kilogram, selain lima unit mesin dan tiga balang kaca yang dipercayai digunakan dalam proses penghasilan dadah,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut beliau, siasatan mendapati sindiket berkenaan dipercayai aktif sejak Oktober 2024.

“Sindiket ini juga dikesan menggunakan identiti palsu bagi menyewa gudang tersebut dengan kadar sewaan RM6,500 sebulan,” ujarnya.

Beliau berkata, modus operandi sindiket adalah menjadikan gudang di kawasan perindustrian sebagai makmal haram memproses dadah sebelum bahan terlarang itu diedarkan ke pasaran sekitar Lembah Klang.

Jelasnya, kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup serta sebatan tidak kurang 12 kali jika sabit kesalahan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI