KUALA LUMPUR – Polis menyita wang tunai, barang kemas dan beberapa barangan bernilai RM7.1 juta selepas merampas lebih tiga tan dadah bernilai RM240 juta di Sabah baru-baru ini.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, sitaan tersebut dibuat hasil siasatan pihaknya terhadap individu yang ditahan dalam operasi tersebut.
“Setakat ini seramai 11 individu ditahan bagi membantu siasatan kes tersebut,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Beliau berkata, pihaknya sedang mengesan tiga individu iaitu Ang Yue Suien, Yam Chee Feng dan Choy Weng Hong bagi membantu siasatan kes tersebut.
Terdahulu, polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah dipercayai terbesar di Sabah selepas rampasan lebih tiga tan dadah bernilai RM240 juta menerusi Op Coleoptera dan Op Bayu 2 yang dilaksanakan JSJN Bukit Aman dan Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Sabah serta beberapa agensi penguatkuasaan lain.
Operasi dijalankan di sekitar Kota Kinabalu, Penampang dan Sepanggar, Sabah seta Selangor.- KOSMO! ONLINE














