KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin tiba di Mahkamah Tinggi di sini hari ini bagi perbicaraan empat pertuduhan salah guna kedudukan membabitkan suapan berjumlah RM232.5 juta dan tiga kes pengubahan wang haram berjumlah RM200 juta.
Ahli Parlimen Pagoh itu tiba pada pukul 8.40 pagi yang mana perbicaraan itu akan berlangsung di hadapan hakim Noor Ruwena Md Nurdin.
Sebelum ini Mahkamah Tinggi telah
menetapkan 29 hari bagi perbicaraan kes itu.
Tarikh-tarikh itu ialah pada 9, 10 dan 11 Mac, 13,16,28 dan 29 April, 25 dan 26 Mei, 6 hingga 10 dan 13 hingga 17 dan 27 hingga 29 Julai, dan 7, 18, 19, 20, 21, 26 dan 27 Ogos 2026.
Hakim Noor Ruwena menetapkan tarikh-tarikh tersebut selepas pihak pendakwaan dan pembelaan bersetuju dengan tarikh-tarikh itu.
Mengikut pertuduhan pertama hingga keempat, Muhyiddin didakwa sebagai Perdana Menteri dan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), menggunakan kedudukan untuk suapan wang berjumlah RM232.5 juta daripada seorang individu dan tiga syarikat sekutu parti itu.
Bagi pertuduhan kelima hingga ketujuh, Muhyiddin selaku Presiden Bersatu didakwa menerima hasil daripada aktiviti haram, iaitu wang berjumlah RM200 juta daripada sebuah syarikat yang dimasukkan ke akaun CIMB Bank dan AmBank milik parti.
Pada prosiding 7 Oktober lalu, mahkamah dimaklumkan Jabatan Peguam Negara (AGC) menolak representasi Muhyiddin untuk mengugurkan empat pertuduhan menggunakan kedudukan untuk suapan RM232.5 juta dan tiga pengubahan wang haram (AMLA) melibatkan wang RM200 juta.
Sehubungan itu, pihak pendakwaan memohon tarikh perbicaraan ditetapkan dan memohon kesemua tujuh pertuduhan didengar secara bersama. – KOSMO! ONLINE













