TEHRAN – Mojtaba Khamenei dilantik menjadi pemimpin tertinggi Iran yang seterusnya bagi menggantikan bapanya, Ayatollah Ali Khamenei, yang terbunuh dalam serangan udara bulan lalu, lapor agensi berita United Press International.
Ahli badan Iran yang ditugaskan untuk memilih pemimpin tertinggi baharu berkata pada awal semalam bahawa seorang calon telah dipilih, dengan saluran berita CNN dan Axios melaporkan pada lewat petang bahawa Mojtaba dinamakan sebagai pengganti bapanya.
Seorang ahli badan pemilihan itu, Mohsen Heydari memberitahu agensi berita ISNA bahawa keputusan telah dibuat mengenai pengganti Khamenei, yang terbunuh dalam serangan udara Amerika Syarikat (AS) dan Israel pada 28 Februari lalu.
“Calon yang paling sesuai, yang diluluskan oleh majoriti Dewan Pakar telah ditentukan,” kata Heydari.
Seorang lagi ahli dewan, Mohammad Mehdi Mirbagheri mengesahkan kenyataan Heydari kepada agensi berita Fars.
Pasukan Israel sebelum ini berikrar untuk menyasarkan pengganti Khamenei, serta sesiapa sahaja yang terlibat dalam melantik pemimpin tertinggi baharu Iran.
Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz mendedahkan semalam bahawa Abu-al-Qasem Baba’iyan yang dilantik minggu lalu sebagai ketua biro tentera pemimpin tertinggi yang baharu, telah terbunuh. – AGENSI














