KUALA LUMPUR – Menjadi antara mercu tanda baharu negara, Menara Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) 15 tingkat yang terletak di kawasan seluas 5.14 ekar di Damansara Damai, Petaling Jaya, bakal diduduki secara berperingkat bermula Mei nanti.
Ketua Pegawai Eksekutif Finas, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib berkata, wajah dan idea baharu Finas akan terus diperkasakan dengan terbinanya bangunan ikonik tersebut.
“Logo Finas dah terpampang di bangunan tersebut. Kita ada Studio 1 dan Studio 2 — memang nampak menarik.
“Cepat atau lambat, kita kena pindah ke sana secara berperingkat bermula Mei. Dengan adanya bangunan baharu ini, ini adalah masa board (lembaga pengarah) dan pengurusan tunjukkan yang kita nak bawa wajah dan gaya pemikiran baharu.
“Kita dah ada akta, bangunan baharu dan tak lama lagi kita akan lancarkan pindaan baharu Dasar Filem Negara. Kali terakhir dasar tersebut dipinda adalah pada tahun 2005.
“Kita sasar dalam 2 Jun 2026 untuk kita lancarkan,” katanya kepada Kosmo! Online pada majlis berbuka puasa anjuran Finas bersama wakil media yang juga ahli Persatuan Penulis dan Wartawan Hiburan Malaysia (Wham) baru-baru ini.
Turut hadir Pengerusi Finas, Datuk Hans Isaac dan Pengerusi Wham, Datuk Tengku Khalidah Tengku Bidin.
Akademi, biasiswa
Sementara itu, Hans berkata pihaknya turut bercadang menubuhkan akademi latihan di sana, namun perlu dikaji dan dibincang bersama kementerian dan lembaga pengarah terdahulu.
“Mungkin kita mula dengan 50 peratus akademi dari segi beberapa kemahiran dalam industri kreatif seperti penulisan, pengarahan, penerbitan dan sebagainya.
“Ini akan menjadi antara penggerak utama dalam menghasilkan filem bagus. Jadi bila orang datang pada kita. Kita boleh bagi biasiswa untuk tarik anak muda kita menjadikan filem bertambah baik.
“Sebelum ini kita ada terfikir kenapa tidak ada hab. Jadi di sini boleh dijadikan tempat lepak, berbincang mengenai semua aspek kreatif, teknikal dan dapat juga ‘brainstorm’ dari segi karier. Secara tidak langsung ia dapat membantu golongan karyawan seni yang memerlukan kemudahan terbabit,” katanya.
Azmir turut berkongsi kejayaan membanggakan yang dicetuskan warga industri seni tempatan pada tahun lalu susulan beberapa kejayaan cemerlang.

Katanya, perkara tersebut dapat dilihat berdasarkan pencapaian mencatat kutipan pecah panggung lebih RM240 juta membabitkan filem tempatan sekali gus rekod tertinggi sepanjang zaman selain membawa masuk sejumlah pelaburan bernilai RM1 bilion.
“Pencapaian ini berdasarkan dari segi pelaburan dibawa melalui projek program realiti dan animasi juga kejayaan besar.
“Sebenarnya animasi ada banyak cerita, Malaysia antara pelopor, jarang uar-uarkan berbanding negara Asia yang lain. Saya difahamkan negara kita sudah hasilkan lebih 28 filem dalam tempoh 20 tahun.
“Saya fikir kejayaan ini usaha semua pihak. Alhamdulillah dan berakhir dengan kecemerlangan di Festival Filem Malaysia (FFM) edisi tahun lalu,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














